Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sukan SEA: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah hanya selangkah tuai emas
  • SUKAN

Sukan SEA: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah hanya selangkah tuai emas

Utusan Sarawak 9 hours ago
PEMAIN beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah (kiri), beraksi pada perlawanan separuh akhir badminton Sukan SEA 2025 di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit, hari ini. Beregu utama wanita negara itu mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Rachel Allessya Rose dan Febi Setianingrum, dengan keputusan 21-14, 19-21, 21-16. Foto BERNAMA

BANGKOK: Impian menyaksikan perlawanan akhir beregu lelaki sesama Malaysia tidak kesampaian apabila hanya juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir pada peringkat separuh akhir Sukan SEA 2025 di Pathum Thani hari ini.

Pada aksi di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat, Aaron-Wooi Yik menepati ramalan apabila mudah menewaskan pilihan keempat Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-10, 21-12 dalam masa 33 minit.

Wooi Yik berkata mereka kini fokus untuk memburu pingat emas kedua Sukan SEA apabila berdepan gandingan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, yang menyingkirkan Wei Chong-Kai Wun 21-16, 21-17 dalam satu lagi separuh akhir.

“Emas sentiasa menjadi matlamat kami. Kami tidak menganggapnya sebagai tekanan yang terlalu besar untuk kami, kami hanya mahu berjuang untuk mendapatkan pingat emas ini. Kami akan melakukan yang terbaik, kami berjanji,” katanya selepas perlawanan hari ini.

Pasangan itu memenangi pingat emas Sukan SEA pertama mereka pada edisi 2019 selepas menewaskan gandingan Thailand Bodin Isara-Maneepong Jongjit 18-21, 21-15, 21-16.

Sementara itu, Wei Chong yang kecewa mengakui mereka bermain terlalu berhati-hati pada separuh akhir manakala Kai Wun berkata perasaan gugup menguasai mereka sehingga melakukan kesilapan yang merugikan.

Dalam acara beregu wanita pilihan utama Pearly Tan-M. Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pilihan keempat Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum 21-14, 19-21, 21-16 dalam perlawanan sengit selama satu jam 18 minit.

Thinaah berkata mereka lega dapat melepasi halangan itu dan memuji pasangan Indonesia berkenaan kerana memberi tentangan hebat sehingga ke set penentuan.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata satu-satunya impian menjelang final adalah mahu meninggalkan gelanggang tanpa sebarang penyesalan pada penampilan pertama mereka pada temasya dwitahunan itu.

Pearly pula berkata mereka akan memberikan tumpuan kepada pemulihan ketika berusaha menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Malaysia dalam acara beregu wanita, yang kali terakhir dimenangi oleh Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015 di Singapura.

Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu akan berdepan gandingan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari pada final esok, yang sebelum itu mudah menewaskan pasangan Vietnam Bui Bich Phuong-Vu Thi Trang 21-10, 21-9.

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.

Sementara itu, cabaran Malaysia bagi acara perseorangan di temasya dwitahunan itu berakhir selepas kesemua pemain yang masih bertahan tersingkir di separuh akhir. 

Pemain perseorangan lelaki negara yang juga pilihan keempat Leong Jun Hao dikejutkan oleh pemain bukan pilihan dari Indonesia Moh. Zaki Ubaidillah, 18-21, 13-21.

Pada aksi final nanti, Moh. Zaki akan berdepan rakan senegara yang juga pilihan kedua, Alwi Farhan yang menewaskan seorang lagi wakil Malaysia, Justin Hoh, 21-10, 15-21, 21-14.

Dalam aksi perseorangan wanita, pemain negara Wong Ling Ching, memberikan tentangan sengit sebelum tewas kepada bekas juara dunia dan pilihan kedua Ratchanok Intanon dari Thailand, 11-21, 21-18, 17-21. 

-Bernama

Continue Reading

Previous: Sukan SEA: Zakiah raih gangsa acara kumite
Next: Latihan intensif berbaloi, trio wusyu wanita negara julang emas Sukan SEA 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.