
PETRA JAYA: Sarawak disahkan bakal menganjurkan sekurang-kurangnya 16 acara bagi temasya Sukan SEA 2027, dengan kemungkinan dua atau tiga lagi acara tambahan yang masih dalam pertimbangan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antara acara yang telah disahkan berlangsung di negeri ini termasuk memanah, akuatik, menembak, tenpin boling, taekwondo, tenis, skuasy, kriket dan muay thai.
“Setakat ini 16 acara sudah sah akan berlangsung di Sarawak. Ada kemungkinan dua atau tiga lagi acara baharu yang dimohon oleh negara-negara terlibat turut dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Temasya Sukan Borneo Kuching 2025 di Stadium Perpaduan, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Sarawak juga akan membina sebuah velodrom baharu walaupun acara berbasikal Sukan SEA 2027 tidak diadakan di Kuching tetapi di Semenanjung.
“Kerajaan negeri sudah bersetuju untuk membina velodrom sebagai usaha meningkatkan lagi pembangunan sukan berbasikal. Atlet pembangunan kita dalam acara ini antara yang terbaik di Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Karim menegaskan penganjuran Sukan Borneo 2025 lebih menitikberatkan aspek penyatuan rakyat dan semangat kebersamaan berbanding mengejar pingat.
“Kita tidak begitu meletakkan sasaran untuk pingat emas kerana sudah 12 tahun Sukan Borneo menghilang. Yang lebih penting adalah menghidupkan semula semangat lama wilayah dan negara-provinsi dalam Kepulauan Borneo,” ujarnya.
Beliau berkata, temasya tersebut memberi peluang untuk merapatkan hubungan diplomatik antara wilayah yang mengambil bahagian, di samping membuka jalan ke arah penyertaan lebih luas pada masa depan.
Katanya, mesyuarat kontinjen sepanjang temasya itu akan menentukan lokasi penganjuran edisi seterusnya serta membincangkan kemungkinan melibatkan wilayah luar seperti Australia dan Filipina.
“Dalam sukan tidak ada politik. Lebih ramai penyertaan, lebih baik untuk atlet. Jika dibuka kepada luar, tahap pencapaian atlet kita akan meningkat kerana perlu berdepan dengan lawan yang lebih kuat,” tegasnya.
Oleh Shahrul Qaizat