
BANGKOK: Skuad karate lelaki negara menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 menerusi acara kata berpasukan yang berlangsung di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, hari ini.
Trio negara — Mohamad Aiqal Asmadie, Muhammad Arif Hafizi HIshamadi dan Mohamad Haznil Henry — mengumpul 23.3 mata, hanya dipisahkan 1.2 mata daripada pasukan tuan rumah yang meraih emas.
Jurulatih kata negara Mohd Norfarhan Nordin berkata skuad lelaki yang baru setahun dibentuk itu tetap menunjukkan prestasi membanggakan, lebih-lebih lagi selepas Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara berpasukan pada edisi lalu.
“Bagi saya, ini permulaan yang baik untuk pasukan kata kerana kita baru dibentuk tahun ini. Mereka memberikan lebih daripada apa yang kami harapkan. Pada saya, mereka tetap yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Beliau berkata kejayaan meraih perak itu menjadi pemangkin penting dalam persiapan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2027.
Terdahulu, skuad kata wanita negara membawa pulang pingat gangsa selepas tewas kepada Vietnam pada aksi separuh akhir. – Bernama