
BANGKOK: Skuad wusyu negara menambah dua lagi pingat emas sebelum menutup kempen Sukan SEA 2025 dengan cemerlang hari ini.
Ratu wusyu negara Tan Cheong Min meraih emas acara gabungan tiga disiplin nanquan, nandao dan nangun sebelum membantu pasukan negara menambah pungutan emas acara duilian bersenjata berpasukan wanita di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana di sini.
Atlet kelahiran Melaka itu mengumpul 29.263 mata keseluruhan selepas menyempurnakan tiga disiplin iaitu nanquan (9.743 mata), nandao (9.760 mata) dan nangun (9.760 mata) untuk mengungguli takhta, mengatasi Dang Tran Phuong Nhi dari Vietnam yang mengumpul 28.112 mata untuk perak.
Pingat gangsa dimenangi Kassandra Ong Xue Ling dari Singapura dengan 28.579 mata.
Cheong Min kemudiannya bergandingan dengan Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee untuk menambah pungutan emas kem wusyu dengan kutipan 9.730 mata dalam acara duilian bersenjata.
Menurut Cheong Min, kejayaan itu hasil persiapan rapi yang dilakukan lebih awal termasuk menjalani kem latihan selama tiga bulan di China bermula Mac lepas.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian diri dan pasukan. Persiapan saya bermula lebih awal bukan sahaja untuk Sukan SEA, tetapi juga beberapa kejohanan besar lain sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui.
Atlet berusia 27 tahun itu yakin kejayaan diraih pada temasya dwitahun itu mampu menjadi pemangkin prestasi skuad wusyu negara menjelang Sukan SEA 2027 apabila Malaysia menjadi tuan rumah.
Sabtu lepas, trio wanita Lo Ying Ting, Mandy Cebelle Chen dan Sydney Chin Sy Xuan menyumbang emas pertama kem wusyu menerusi acara Duilian (tanpa senjata).
Kem wusyu menutup kempen dengan mengumpul tiga emas, satu perak, dan empat gangsa secara keseluruhan.
-Bernama