
SARATOK: Sukan petanque terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Saratok apabila Pusat Cemerlang Sukan Petanque Saratok menganjurkan Pertandingan Petanque Berpasukan Antara Kelab, Kampung dan Jabatan Daerah Saratok 2025 baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata penganjuran kejohanan sebegini wajar diteruskan sebagai usaha memperkukuh minat masyarakat tempatan terhadap sukan petanque yang semakin berkembang di Malaysia sejak mula diperkenalkan pada 1987.

“Selain menggalakkan gaya hidup sihat, kejohanan seperti ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dan persahabatan dalam kalangan penduduk pelbagai peringkat umur,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Petanque Saratok, Abang Shamshudin Abang Ahmad menjelaskan pertandingan tersebut turut bertujuan mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk mewakili daerah atau negeri dalam kejohanan yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Sebanyak 10 pasukan melibatkan 80 peserta dari sekitar Daerah Saratok serta dua pasukan jemputan dari Kabong telah mengambil bahagian dalam edisi pertama kejohanan ini.
Pada aksi penutup yang sengit, pasukan Kampung Hulu Saratok muncul juara keseluruhan, manakala Pusat Cemerlang Saratok A dinobatkan sebagai naib juara. Tempat ketiga milik pasukan Lot Wawasan dan Pagan, sementara pasukan Muhibura, Saratok menduduki tempat keempat.

Pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM1,000, naib juara RM600, tempat ketiga RM400, dan keempat RM300. Semua pemenang turut menerima piala dan pingat sebagai penghargaan.
Majlis perasmian pertandingan disempurnakan oleh Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang mewakili ADUN Kalaka, sementara Pemanca Lim Guan Ann hadir sebagai penaja bersama pertandingan.
Oleh Adi Safarman