HANYA kurang tujuh minggu acara sukan terbesar dunia Temasya Olimpik Tokyo disingkap, ramai pihak mahu agar ia dibatalkan gara-gara pandemik Covid-19 yang masih ‘bermaharajalela’ ketika ini.
Acara kejohanan tertinggi itu dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan dengan semua kontinjen seluruh dunia masih ‘ketakutan’ berhadapan dengan pandemik yang telah meragut ramai nyawa setakat ini.
Justeru, tidak hairanlah jika majoriti peminat sukan negara bersetuju agar acara sukan terbesar dunia ini dibatalkan berdasarkan kaji selidik selama dua hari yang dijalankan oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) baru-baru ini.
Kaji selidik dengan tajuk ‘Berdasarkan situasi Pandemik Covid-19 yang semakin menular, wajarkah Sukan Olimpik 2021 Tokyo Dibatalkan?’- menyaksikan sebahagian besar peminat sukan tanah air mengutamakan soal keselamatan atlet, lebih-lebih lagi ketika tuan rumah, Jepun dan dunia kini berjuang melawan virus tersebut daripada terus merebak.
Dalam undian tersebut, sejumlah 87 peratus bersetuju ia dibatalkan manakala 13 peratus lagi tidak bersetuju.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap menjelaskan, usaha yang dijalankan oleh SAM ini bertujuan untuk meninjau pendapat daripada para peminat sukan negara berkaitan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo dalam keadaan pandemik Covid-19 semakin mengganas.
“Ini adalah usaha kecil SAM yang hanya mahu melihat keprihatinan peminat sukan tanah air, namun segala keputusan untuk meneruskan atau tidak Sukan Olimpik terletak di tangan IOC dan Jepun selaku tuan rumah.
“Berdasarkan undian yang telah dilakukan, ternyata sebahagian besar peminat sukan berpendapat Sukan Olimpik kali ini wajar dibatalkan berikutan situasi pandemik Covid-19 di negara matahari terbit itu ketika ini,” jelas Norismadi.
Setakat ini, meskipun Jepun berada dalam situasi bimbang dengan penularan gelombang ketiga Covid-19 di seluruh dunia, namun kata putus sama ada temasya sukan tersebut diteruskan atau sebaliknya, terletak di tangan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).
Sekiranya IOC kekal dengan pendirian untuk meneruskannya, negara-negara anggota tidak boleh menarik diri sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh.
Malaysia sebelum ini pernah menarik diri daripada Sukan Olimpik1980 Moscow sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Malah, dilaporkan juga lebih 400,000 rakyat Jepun telah menandatangani pungutan suara untuk membatalkan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo menurut laporan agensi berita Sputnik.
Pungutan suara itu dilancarkan pada 5 Mei oleh peguam dan ahli politik terkenal Kenji Utsunomiya.
Ia ditujukan kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach, Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa Andrew Parsons, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, Menteri Hal Ehwal Olimpik Tamayo Marukawa, Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik dan Paralimpik Tokyo Seiko Hashimoto dan Gabenor Tokyo Yuriko Koike.
Menurut undian itu, organisasi yang berkaitan kini secara paksa mendorong agar Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo diteruskan, sementara Tokyo dan wilayah lain, serta semua negara di seluruh dunia sedang berusaha membendung penyebaran virus itu.
“Sukan Olimpik Tokyo tidak akan berlangsung tanpa bantuan daripada pekerja kesihatan, institusi perubatan, dan sumber perubatan yang tidak terkira banyaknya.
“Bagaimanapun, profesional perubatan telah memberitahu orang ramai tidak ada ruang untuk tuntutan perubatan yang lebih banyak… penganjuran Olimpik berkemungkinan tinggi akan menjadi penyebar paling besar dan memburukkan lagi keadaan yang sedang kita hadapi, ” menurut undian itu.
Beberapa undian di Jepun menunjukkan kebanyakan rakyat keseluruhannya mahu Olimpik dibatalkan.
Sebagai tambahan, surat khabar Jepun Asahi Shimbun, rakan rasmi temasya itu turut meminta perdana menteri membatalkan acara itu dengan alasan ancaman berkaitan dengan pandemik terhadap keselamatan awam dan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan negara itu.
Pada masa sama, bintang sukan Jepun Naomi Osaka mengakui beliau tidak begitu pasti Olimpik Tokyo patut diteruskan susulan kes positif yang kian meruncing, sambil menyatakan keraguan mengenai temasya itu yang hanya tinggal beberapa minggu sebelum acara pembukaannya.
Juara Grand Slam empat kali itu berkongsi kebimbangan sama dengan rakan pemainnya, Kei Nishikori, susulan Tokyo dan bahagian lain Jepun masih berstatus darurat.
Seorang ahli politik terkemuka turut memberi amaran Jepun wajar membuat ‘keputusan berhati-hati’ berkaitan temasya itu yang juga hanya mendapat sebilangan kecil sokongan masyarakat, menurut tinjauan pendapat dalam talian.
Tegasnya, membatalkan Sukan Olimpik 2020 yang ditangguhkan dari jadual asal tahun lalu ketika pandemik semakin serius, adalah idea yang tidak pernah hilang walaupun terdapat pegawai temasya berulang kali menyatakan akan meneruskannya.
Justeru, dengan situasi pandemik yang semakin mencengkam dunia sekarang, adakah Sukan Olimpik Tokyo ditangguhkan atau dibatalkan walaupun kebanyakan atlet sudah tidak sabar untuk ‘bertempur’ menjulang pingat tertinggi dalam karier mereka nanti?