
BINTULU: Penganjuran Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia 2026 (SOMNG26) mencipta kelainan apabila semua atlet yang bertanding akan menerima pingat, menggantikan amalan pemberian reben kepada peserta yang tidak berada dalam kedudukan tiga teratas sebelum ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perubahan itu dibuat susulan maklum balas atlet yang mahu usaha mereka dihargai secara lebih bermakna.
Menurut beliau yang juga Presiden Special Olympics Sarawak, sebelum ini terdapat atlet yang mempersoalkan mengapa mereka hanya menerima reben walaupun telah berusaha keras sepanjang pertandingan.
“Jadi kali ini, kita beri pingat kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian dan semangat mereka mencuba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media sempena Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Katanya, pendekatan tersebut selaras dengan falsafah Special Olympics iaitu ‘Let me win, but if I cannot win, let me be brave in the attempt’, yang menekankan nilai usaha berbanding kemenangan semata-mata.
Beliau percaya sistem baharu itu bukan sahaja meningkatkan motivasi atlet, malah membantu membina keyakinan diri golongan berkeperluan khas untuk terus aktif dalam bidang sukan.
Tambahnya, SOMNG26 diharap menjadi platform membentuk budaya sukan yang lebih inklusif, menghargai usaha serta memperkukuh pembangunan insan dalam kalangan atlet khas di negara ini.
Selain itu, beliau memaklumkan, seramai 793 peserta membabitkan atlet, jurulatih, ketua delegasi dan pengiring dari 11 negeri dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, sekali gus menjadikan SOMNG26 antara penganjuran terbesar Sukan Olimpik Khas di peringkat kebangsaan.
Menurutnya, penyertaan besar itu membuktikan sokongan berterusan pelbagai pihak terhadap pembangunan sukan khas di negara ini.
Oleh Carolyne Utih