Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sukan Komanwel 2026: Amir Daniel Idam lakar sejarah lagi di Glasgow
  • SUKAN

Sukan Komanwel 2026: Amir Daniel Idam lakar sejarah lagi di Glasgow

Utusan Sarawak 3 hours ago
SUKAN Komanwel 2026: Amir Daniel Idam lakar sejarah lagi di Glasgow. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Selepas melakar sejarah sebagai atlet judo pertama negara meraih pingat di Sukan Komanwel pada edisi Birmingham 2022, Amir Daniel Abdul Majeed kini meletakkan sasaran lebih berani bagi edisi seterusnya di Glasgow, Scotland.

Amir Daniel yang menyumbang gangsa kategori 73 kilogram (kg) lelaki di Birmingham, nekad mahu melakar sejarah baharu sukan negara dengan menukar warna pingat tersebut kepada emas pada temasya sukan empat tahun sekali itu yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu, yang beralih ke kategori 81 kg lelaki sejak dua tahun lepas, menyifatkan misinya ke Glasgow adalah kesinambungan momentum kejayaan selepas menamatkan penantian 44 tahun negara meraih emas judo pada Sukan SEA Thailand 2025.

Biarpun dihimpit kecederaan meniskus dan medial collateral ligament (MCL) pada kaki kiri sekembalinya dari Thailand, semangat atlet berusia 21 tahun itu tidak pernah luntur malah menegaskan proses pemulihannya berada di landasan positif.

“Saya boleh katakan ketika ini keadaan saya jauh lebih baik berbanding bulan lepas. Saya masih dalam proses pemulihan tetapi baru-baru ini saya sudah mula melakukan sesi sparring.

“Saya tidak berasa bimbang dengan kecederaan kerana ia sebahagian daripada kehidupan seorang atlet, yang penting ialah bagaimana kita menyesuaikan diri dengannya,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Amir Daniel sedar laluan ke puncak podium di Glasgow bukan tugas mudah, terutamanya dengan kelibat jaguh dari Kanada Francois Gauthier-Drapeau yang kini menghuni ranking kelima dunia bagi kategori 81 kg lelaki.

Mengenai penampilan keduanya pada Sukan Komanwel nanti, mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengakui teruja untuk kembali merasai suasana kompetitif tahap tinggi seperti mana pengalamannya di Birmingham.

“Saya harap dapat pengalaman serupa seperti di Birmingham nanti di Glasgow. Sewaktu di Birmingham, perkampungan atlet sangat baik, semua jenis peralatan dan kemudahan ada, selain venue dan makanan juga bertaraf terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui memerlukan dua hingga tiga kejohanan antarabangsa bagi membantunya membuat persiapan lebih mantap menjelang Sukan Komanwel 2026.

Sehubungan itu, beliau sedang merancang untuk menyertai sebuah kejohanan di Vietnam, Mei ini selain kejohanan di Eropah pada Julai depan sebelum berjuang di Glasgow.

Amir Daniel berkata, beliau juga akan berlatih bersama beberapa atlet judo dari Jepun di Pulau Pinang bagi menguatkan tahap fizikal dan kekuatan diri. – Bernama

Continue Reading

Previous: Azeem bantu kuartet 4X100 Auburn raih emas di Yellow Jacket Invitational

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.