
MIRI: Bidang sukan bukan sahaja menjadi platform untuk mengasah bakat sukan tetapi juga medan bagi melahirkan murid-murid yang semangat kesukanan, kerjasama berpasukan, disiplin diri dan sikap tidak mudah putus asa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, nilai-nilai inilah yang penting untuk membentuk murid yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah dalam kehidupan.
“Saya amat gembira melihat penyertaan yang meriah daripada semua murid. Semangat ini membuktikan bahawa sukan mampu menyatupadukan kita tanpa mengira latar belakang atau perbezaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi 2025 hari ini .
Mengenai kejohanan itu, Adam Yii berharap para peserta akan bersaing dengan penuh semangat, tetapi dalam masa yang sama menjunjung tinggi semangat kesukanan.
“Menang atau kalah adalah lumrah pertandingan tetapi semangat untuk mencuba, berusaha dan menghormati pihak lawan adalah kemenangan yang sebenar.
“Justeru, saya juga sangat menghargai kehadiran ibu bapa ke temasya ini. Ini membuktikan para Ibu bapa sentiasa seiring dalam pembentukan kemenjadian murid di SK Anchi ini,” katanya.
Beliau menambah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu lebih proaktif dan sentiasa memberi sokongan dalam membantu sekolah merealisasikan visi dan misi sekolah.
Oleh Liong Chai Ling