Sukan boules berpotensi menjadi sukan pilihan semua peringkat umur

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PESERTA veteran tertua kejohanan menerima cenderamata daripada Iskandar Turkee pada majlis perasmian  pertandingan Veteran Terbuka Berganda anjuran Kelab Boules Al Falah di Arena Petanque Jepak, Bintulu hari ini.

BINTULU: Sukan boules mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai sukan pilihan masyarakat kerana mudah disertai, berkos rendah dan sesuai dimainkan oleh semua peringkat umur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kelebihan tersebut menjadikan boules sebagai sukan yang inklusif serta mampu menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Boules merupakan antara sukan yang mesra masyarakat kerana kos penyertaannya rendah berbanding banyak sukan lain.

“Oleh itu, ia berpotensi untuk terus berkembang dan menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.

PESERTA veteran tertua kejohanan menerima cenderamata daripada Iskandar Turkee pada majlis perasmian  pertandingan Veteran Terbuka Berganda anjuran Kelab Boules Al Falah di Arena Petanque Jepak, Bintulu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan Veteran Terbuka Berganda 2026 anjuran Kelab Boules Al Falah di Taman Rekreasi Kampung Jepak di sini, hari ini.

Menurutnya, kejohanan itu turut membuktikan perkembangan positif sukan boules apabila menerima penyertaan 78 pasukan melibatkan 156 pemain dari seluruh Sarawak selain Sabah dan Negara Brunei Darussalam.

Katanya, penyertaan tersebut bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan malah membuka ruang kepada pemain untuk bertukar pengalaman, memperluas jaringan persahabatan dan memperkukuh perpaduan menerusi sukan.

Beliau berharap agar lebih banyak kejohanan seumpama itu dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi memperkasakan pembangunan sukan boules serta menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.

Oleh Carolyne Utih