

JUARA…Pasangan beregu campuran Sarawak, Mohd Aryan Nazrullah Nazaruddin dan Nur Fithri Armisya muncul juara apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara boling padan Sukan Borneo Kuching 2025.
PETRA JAYA: Pasangan beregu campuran Sarawak, Mohd Aryan Nazrullah Nazaruddin dan Nur Fithri Armisya muncul juara apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara boling padang Sukan Borneo Kuching 2025.
Kemenangan itu menambah kegemilangan kontinjen Sarawak yang terus mendominasi acara sukan padang tersebut. Tempat kedua menjadi milik Sabah manakala Wilayah Persekutuan Labuan berpuas hati di tempat ketiga.
Mohd Aryan, ketika ditemui, meluahkan rasa bangga kerana berjaya mengharumkan nama negeri. Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil persediaan rapi serta latihan konsisten yang dijalani sejak sekian lama.
“Ini adalah titik peluh dan usaha tanpa mengenal penat lelah selama ini. Saya sentiasa cuba seimbangkan latihan dengan pelajaran, dan akhirnya usaha itu membuahkan hasil,” katanya penuh bersemangat.

Mohd Aryan Nazrullah.
Bapanya, Nazruddin, turut melahirkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian anaknya itu. “Saya lihat sendiri kesungguhan Aryan berlatih setiap hari, malah semangatnya tidak pernah luntur walaupun berdepan cabaran,” ujarnya.
Beliau menambah, “Kejayaan ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga buat Sarawak yang sentiasa menjadi kebanggaannya.”
Sementara itu, pasangan beregunya, Nur Fithri Armisya, tidak mampu menyembunyikan kegembiraannya selepas memastikan emas milik Sarawak.
“Kemenangan ini adalah bukti bahawa setiap usaha pasti akan ada hasilnya, asalkan kita tidak mudah berputus asa,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan berpasukan menjadi kunci kejayaan. “Kami sentiasa saling menyokong dalam setiap perlawanan, dan itulah yang menjadikan kemenangan ini lebih manis,” katanya lagi.
Dengan kejayaan itu, kontinjen Sarawak terus menambah koleksi pingat emas sekali gus memberi suntikan semangat kepada atlet lain untuk terus menyerlah dalam temasya sukan berprestij itu.
Oleh Norman B