
KUCHING: Sarawak bersiap sedia untuk menghidupkan kembali Sukan Borneo, kejohanan sukan serantau yang kali terakhir dianjurkan 15 tahun lepas pada 2009.
Menurut Menteri Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, penganjuran edisi kali ini dijangka bermula selepas Ogos 2025 dan melibatkan penyertaan daripada Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat.
“Kami telah mula mengadakan perbincangan sejak hujung tahun lalu dan menerima maklum balas positif daripada pihak berkaitan.
“Untuk edisi pertama selepas 15 tahun ini, kami akan bermula dengan sekitar lima hingga enam jenis sukan dan jumlah itu akan ditambah secara beransur-ansur pada masa hadapan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata demikian ketika ditemui media semasa majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan Negeri Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat ini jenis sukan yang bakal dipertandingkan masih dalam perbincangan, kerana ia memerlukan persetujuan semua pihak yang terlibat.
“Namun, beberapa sukan utama seperti olahraga dan renang berkemungkinan besar dimasukkan dalam senarai pertandingan.
“Sebagai tuan rumah, sudah tentu kami ingin menganjurkan sukan yang boleh memberi kelebihan kepada atlet kita seperti renang atau boling tenpin, tetapi semua ini tertakluk kepada persetujuan bersama,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa penganjur juga sedang meneliti penyertaan pasukan lain dari Malaysia seperti Labuan, manakala negeri-negeri lain mungkin dijemput sebagai pemerhati pada peringkat awal.
“Dalam usaha memperkukuhkan persediaan atlet, Sarawak turut merancang untuk menubuhkan pusat prestasi tinggi di Kuching serta bakal diperluaskan ke Sibu dan Miri pada masa depan.
“Sukan moden bukan sekadar latihan fizikal, tetapi juga bergantung kepada sains sukan, pemakanan, dan kajian prestasi atlet seperti tahun lalu kami telah ke Korea untuk melihat bagaimana mereka membangunkan pusat prestasi tinggi, dan perkara seperti itu yang kita mahu terapkan di Sarawak juga,” ujarnya.
Pusat sukan tersebut dijangka bakal dibina di sekitar Kuching dengan penekanan kepada penyediaan peralatan canggih bagi membantu atlet berlatih dalam pelbagai keadaan, termasuk simulasi suhu untuk membiasakan mereka dengan iklim pertandingan antarabangsa.
Dato Sri Abdul Karim turut menegaskan bahawa Sukan Borneo bukan sekadar kejohanan sukan biasa, tetapi berpotensi menjadi platform utama untuk pembangunan atlet di rantau ini.
“Kami mahu melihat Sukan Borneo berkembang dan menjadi kejohanan sukan utama di Asia Tenggara. Jika penganjuran kali ini berjalan lancar, kami akan terus menambah baik dan memperluaskan penyertaan pada edisi seterusnya.
“Dengan komitmen tinggi daripada kerajaan negeri serta sokongan daripada negara-negara jiran, Sarawak kini bersedia untuk membawa Sukan Borneo ke tahap lebih tinggi sebagai pentas pembangunan atlet dan mengukuhkan kedudukan sebagai pusat sukan antarabangsa di rantau ini,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah