
PETRA JAYA: Kontinjen Sarawak menutup tirai acara boling padang pada Sukan Borneo 2025 tanpa sebarang pingat emas apabila sekadar meraih tiga perak dan satu gangsa di Arena Boling Padang Sarawak, hari ini.
Bagi acara lelaki perseorangan, Muhammad Zikrullah Zaidi terpaksa akur dengan keputusan pingat perak selepas tewas kepada wakil Sabah, Muhammad Afif Aiman Mohd Affendy yang merangkul emas.

Sarawak turut meraih perak menerusi gandingan Dayang Nur Zizaty Shareezia Abang Gadisa dan Nur Hidayah Faizal dalam acara wanita berpasangan serta trio Nur Fithri Armisya Abdul Rahman, Myra Zara Amir dab Nur Ain Farah Rosmadi dalam acara wanita bertiga.

Sementara itu, skuad lelaki berpasukan empat Sarawak yang dibarisi Muhammad Radman Mohamad Jeffry, Abdul Rahman Mahmud, Mohd Aydram Nazrullah Nazaruddin dan Rosman Majunit menyumbang gangsa.

Secara keseluruhan, Labuan mendominasi acara boling padang dengan tiga emas, manakala Sabah membawa pulang satu emas.
Oleh Masrin Affirah