
SARIKEI: Pertandingan Bola Keranjang 10 Tahun Ke Bawah (TKB) sempena Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Daerah Sarikei menjadi platform penting dalam membentuk semangat kesukanan, disiplin serta perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata penyertaan aktif pelajar dan kanak-kanak dalam aktiviti sukan seperti bola keranjang mampu melahirkan masyarakat yang sihat dan berdaya saing.
“Saya berasa amat berbesar hati kerana dijemput merasmikan majlis yang dianjurkan oleh Kelab Bola Keranjang Repok, iaitu pertandingan bola keranjang sempena Hari Sukan Negara 2025.
“Pertandingan seperti ini bukan sekadar acara sukan, tetapi juga simbol kepada gaya hidup sihat dan perpaduan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Penghulu Huang Tiong Kang, semasa majlis perasmian pembukaan Pertandingan Bola Keranjang 10TKB di Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Anglo-Chinese, baru-baru ini.
Katanya, penyertaan kanak-kanak sejak usia kecil dalam aktiviti sukan amat penting bagi membentuk tubuh badan sihat serta memupuk semangat berpasukan, disiplin dan daya tahan diri yang tinggi.
“Melihat ramai anak kecil yang bersemangat di gelanggang memberi keyakinan bahawa masa depan kita penuh harapan.
“Saya amat menghargai usaha jurulatih, ibu bapa dan sukarelawan yang terus menyokong perkembangan sukan bola keranjang di Sarikei,” katanya.
Dalam masa sama, Tiong Sii turut menekankan kepentingan melatih dan membimbing pemain muda agar kesinambungan bakat sukan bola keranjang dapat diteruskan.
“Pemain berpengalaman perlu terus digilap dan pada masa sama melatih generasi baharu agar tidak berlaku jurang bakat.
“Saya berharap lebih ramai pelajar sekolah dan belia tempatan akan menyertai sukan bola keranjang serta membawa nama Sarikei ke peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa agar kelab dan persatuan sukan tempatan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan sukan dengan sokongan komuniti dan pihak berkuasa tempatan.
“Dengan semangat kerjasama dan sokongan semua pihak, saya yakin bola keranjang akan terus berkembang pesat serta menjadi sukan kebanggaan masyarakat Sarikei,” ujarnya.
Oleh Earl Anek