
Penyerahan cenderamata oleh Ketua Delegasi Museum Cycling Community Pontianak, Kalimantan Barat, Prof. Rizky Fauzan kepada Konsul Jeneral Republik Indonesia Kuching, Bapak Raden Sigit Witjaksono (tiga kiri) sambil disaksikan oleh Abdul Karim.
KUCHING: Acara Borneo Cross Border Cycling Tour 2025 yang berlangsung di Sarawak bukan sekadar pertandingan berbasikal, malah turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia, Indonesia melalui sukan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara tersebut bukan sahaja mencerminkan semangat kesukanan, sebaliknya juga mengeratkan jalinan persahabatan antara kedua-dua negara.
“Program ini merupakan bukti bahawa sukan boleh menjadi jambatan yang menghubungkan dua negara serumpun.
“Selain itu program ini dapat memberi peluang kepada peserta untuk meneroka keindahan budaya dan warisan Sarawak,” katanya pada majlis makan malam bersama Museum Cycling Community, di sini malam tadi.
Abdul Karim juga berharap peserta akan membawa pulang bukan hanya kenangan daripada kayuhan basikal, tetapi juga pengalaman mendalam mengenai budaya Sarawak.
Sementara itu, Ketua Delegasi Museum Cycling Community Pontianak, Kalimantan Barat, Prof Bersekutu Rizky Fauzan menjelaskan bahawa acara ini telah bermula sejak 2023 dengan sokongan pelbagai pihak dan mendapat sambutan lebih besar tahun ini.
“Jelajah ini sebenarnya bertujuan mempromosikan hubungan antara Indonesia dan Malaysia khususnya Kalimantan Barat dan Sarawak, terutama di bandar Kuching, serta dalam bentuk pelancongan sukan.
“Perjalanan kali ini tidak terlepas daripada cabaran cuaca iaitu apabila kami berangkat ke Kota Sambas, keadaan cuaca adalah hujan sepanjang hari,” katanya ketika berucap pada majlis sama.
Beliau juga berharap agar acara ini dapat diteruskan secara berkala serta dapat memperkukuh hubungan dua hala selain mempromosikan budaya berbasikal sebagai gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Acara tahun ini menyaksikan penyertaan kira-kira 69 pelumba dari pelbagai wilayah di Indonesia seperti Jakarta, Bogor, Bali, Papua, dan Kalimantan Barat, bersama pasukan sokongan mereka.
Mereka dijangka menjelajah beberapa kawasan utama di Sarawak, termasuk Serian dan Lundu, sebelum meneruskan kayuhan ke sempadan.
Selain berbasikal, program tersebut juga dapat memberi peluang kepada peserta antarabangsa untuk menikmati keunikan Sarawak, yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budayanya.
Oleh MASRIN AFFIRAH