
MARUDI: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, sukan badminton adalah aktiviti yang sihat untuk semua rakyat tidak kira usia.
Beliau berharap lebih ramai rakyat Marudi akan menyertai aktiviti seperti ini sekiranya pertandingan dianjurkan lagi, kerana sukan badminton dapat menyumbang kepada kesihatan fizikal dan kecerdasan minda.
“Saya amat berharap semua peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini dapat meningkatkan lagi mutu permainan dan meningkatkan semangat kejohanan dan persefahaman sekali gus mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikan semasa berucap pada perasmian Kejohanan Badminton Piala Datuk Dr Penguang Manggil diadakan di Gelanggang Badminton Good Shepherd, semalam.

Menurut Penguang, beliau komited untuk memperluaskan pembangunan sukan bukan sahaja di Marudi, malah di kawasan lain seluruh daerah termasuk Beluru.
“Untuk makluman kita akan mengadakan Kejohanan Badminton untuk kawasan Marudi yang akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka untuk semua kelab di Miri dan tertutup untuk peserta di kawasan Marudi yang akan diadakan pada 14 dan 25 Oktober depan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola Kejohanan, Sabri Zaini merakamkan penghargaan atas sokongan Penguang bukan sahaja dalam membangunkan sukan badminton malah dalam memperkasakan semangat kesukanan dalam kalangan belia dan mayarakat Baram.
Katanya, kejohanan berkenaan bukan sekadar satu pertandingan tetapi medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, menyemai semangat perpaduan serta mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton.
“Kita percaya bahawa sukan mempunyai kuasa menyatukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang.
Sebanyak 62 pasukan beregu merebut gelaran juara dalam kejohanan ini anjuran Kelab Badminton Baram yang dibahagikan kepada lima kategori iaitu Beregu Lelaki Terbuka (19 pasukan), Beregu Wanita Terbuka (13 pasukan), Veteran (5 pasukan), Junior (16 pasukan) dan peserta bawah 18 tahun (9 pasukan).
Oleh Jiku Jukuong