Sukan, akademik perlu bergerak seiring bentuk generasi berdaya saing – Friday Belik

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARATOK: Aktiviti sukan dan kokurikulum perlu terus diperkasakan di sekolah bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki disiplin, ketahanan mental serta jati diri yang kukuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, penglibatan aktif pelajar dalam bidang sukan mampu membentuk sahsiah diri, di samping memupuk nilai kepimpinan, semangat berpasukan dan daya tahan yang menjadi asas penting dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Pada masa yang sama, pelajar juga perlu memberi tumpuan kepada pencapaian akademik supaya mempunyai masa depan yang lebih terjamin serta mampu bersaing dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Temenggung Tandok, Krangan, di sini, semalam.

Menurut Friday, keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum amat penting bagi melahirkan modal insan yang holistik, selaras dengan aspirasi pembangunan pendidikan negara.

Kejohanan itu turut disertai empat buah sekolah berhampiran, sekali gus menjadikan acara berkenaan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara warga sekolah di samping menyemai semangat kesukanan dalam kalangan murid.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru, ibu bapa dan semua pihak yang menjayakan penganjuran kejohanan tersebut, serta berharap program seumpamanya dapat diteruskan pada masa hadapan.

Friday berkata, usaha membangunkan generasi muda memerlukan kerjasama berterusan antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan kerajaan bagi memastikan pelajar menerima pendidikan yang seimbang serta mampu menjadi aset kepada negeri dan negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok Ramli Seruji, Guru Besar SK Orang Kaya Temenggung Tandok Maslim Mahidi, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Chagat Manggau, barisan guru, tuai-tuai rumah, Ahli Majlis Daerah Saratok Kaunselor Raymand Majang serta ibu bapa.

Oleh Adi Safarman