SIKAP terlalu ghairah menyerang oleh barisan pemain Sarawak United FC (SUFC) hampir memakan diri apabila hanya sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Selangor FC 2, meskipun dihadiahkan deretan peluang untuk melakukan jaringan.
Penolong ketua jurulatih SUFC, Safri Amit keghairahan barisan pemain untuk menyerang ditambah pula sering melakukan hantaran jauh (long ball), perlu diperbaiki segera kerana ia boleh merugikan pasukan.
“So far…saya agak kurang berpuas hati terutamanya pada separuh masa pertama kerana pemain terlalu ghairah untuk menyerang yang menjadikan kita terlalu ‘struggle’ untuk mengawal bola dan menguasai perlawanan.
“Pasukan kita juga lebih banyak membuat hantaran bola jauh (long ball) dan pemain semakin bergelut untuk mencipta sebarang peluang mencipta gol. Bila masing-masing mahu menyerang, banyak peluang yang telah hilang,” katanya selepas perlawanan itu.
Safri berkata corak permainan SUFC ternyata lebih baik pada babak kedua dengan membuat beberapa gerakan menyerang cantik, namun masih belum dapat melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gol.
Usaha bertali arus SUFC akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Abdul Rahim Abdul Razak menyamakan kedudukan dengan memanfaatkan hantaran bola daripada Lee Chang Hoon pada minit ke-87.
“Perlawanan malam ini akan dijadikan pengajaran agar tidak berulang lagi supaya pasukan mampu meraih kemenangan yang lebih selesa lagi selepas ini,” ujarnya.
Jelasnya, banyak kelemahan perlu diperbaiki selepas berakhirnya aksi perlawanan malam semalam, terutamanya aspek kecergasan serta strategi pasukan.
“Kita akan segera perbaiki segala kelamahan dalam perlawanan malam ini. Jadi saya harap, pemain tidak ambil mudah dan harus fokus untuk meraih tiga mata pada baki perlawanan selepas ini,” ujarnya.
SUFC pada perlawanan selepas ini akan menanti kunjungan Perak FC II pada 15 Ogos (Ahad) yang dijangka berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Oleh ADI SAFARMAN