SARAWAK United FC (SUFC) semalam mengumumkan enam pemain baharu bagi membantu skuad Kenyalang Emas mengharungi saingan Liga Super musim ini.
Antara yang diumumkan Sarawak United termasuklah bekas pemain tengah PJ City, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (Beto), Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir, Muhammad Amirul Ashraf Ariffin, Kalaiharasan Letchumanan dan Raja Imran Shah Raja Amin.
Selain itu, turut disenaraikan seorang pemain yang bermain di posisi penjaga gol iaitu Tauffiq Ar Rasyid Johar.
Kesemua pemain ini diumumkan menerusi satu sidang media yang dihadiri oleh Pengerusi Sarawak United FC, Datuk Posa Majais.
Menurut Posa, penyertaan enam pemain muda terbabit boleh dianggap sebagai peluang terbaik buat mereka untuk membuktikan kemampuan dalam saingan Liga Super musim ini.
“Lebih-lebih lagi kehadiran Beto dan beberapa pemain muda kebangsaan mampu memberi impak dan membantu pasukan Sarawak United dalam mengharungi kempen Liga Super tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Posa menegaskan, tiada sebarang sasaran diletakkan untuk Sarawak United yang dikendalikan oleh E Elavarasan pada kempen Liga Super 2022.
Menurutnya, memadai untuk cuba kekal dalam pentas saingan utama liga berkenaan musim ini.
“Ini adalah musim pertama Sarawak United bersaing dalam kempen Liga Super, justeru kita tidak meletakkan sasaran kepada pemain,” jelasnya.
Skuad Sarawak United akan memulakan sesi latihan pada minggu ini sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Super 2022.
Dalam pada itu, Sarawak United dijangka akan mengumumkan beberapa lagi barisan pemain baharu yang akan membarisi skuad pimpinan Elavarasan musim ini dalam masa terdekat.
Oleh ADI SAFARMAN