SKUAD Sarawak United FC (SUFC) dijangka akan menyambung semula latihan mereka pada 18 Jun ini.
Menurut sumber SUFC ketika dihubungi pemberita berkata semua pengurusan termasuk jurulatih dan pemain telah diarahkan untuk turun pada sesi latihan yang bermula pada Jumaat ini.
“Ia adalah sebagai persiapan menghadapi pasukan Selangor FC 2 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
“Aksi Liga Premier ini adalah merupakan perlawanan yang tertunda sebelum ini ekoran cuaca buruk pada 7 April lalu,” katanya.
Sumber tersebut berkata SUFC mempunyai persiapan latihan mereka selama 11 hari sebelum pertembungan dengan pasukan Selangor 2.
“Latihan sepatutnya bermula pada 15 Jun lalu, namun atas faktor dan keadaan semasa dengan pelaksanaan PKP buat masa ini membuatkan jadual latihan ditunda kepada 18 Jun ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus SUFC, Abang Suhordie Abang Zaini mengakui mereka kesuntukan masa untuk membentuk semula kombinasi para pemain.
Ia berikutan tempoh rehat sebulan selepas tamat perlawanan menentang Kelantan United FC pada 7 Mei lalu.
Ditambah pula rehat dua minggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Setelah sebulan kita tidak berlatih di padang, memang ada memberi sedikit kesan untuk membentuk kombinasi para pemain.
“Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan bagi kami terutama mengekal momentum pasukan,” ujarnya.
Beliau turut berharap apabila pasukan kembali turun menjalani latihan, prestasi dan kecergasan pemain dapat dipulihkan sepenuhnya selepas ini.
Terdahulu, baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan telah mengumumkan kalendar Liga Malaysia (Liga-M) bakal kembali bersambung Julai depan.
Kempen Liga Premier 2021 bakal bermula pada 3 Julai manakala bagi saingan Liga Super 2021 pada 24 Julai depan.
Selain itu menurut Ab Ghani, tarikh baharu perlawanan juga melibatkan dua perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini di antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC ekoran cuaca buruk dan Perak FC II menentang Kelantan FC disebabkan pemain-pemain Kelantan FC diarahkan untuk kuarantin selama 10 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat terdapat pemain mereka didapati positif Covid-19.
“Kedua-dua perlawanan tertunda itu akan dipinda pada tarikh baharu iaitu Perak II bertemu Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh pada 29 Jun 2021 manakala Selangor II menentang Sarawak United bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun 2021,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN