ANTARA aksi menarik pemain pasukan Sarawak United FC dan Sabah FC dalam saingan Liga Super 2022 yang menyaksikan pasukan dari Bumi Kenyalang itu tumpas 1-0 di Stadium Negeri, di Kuching malam kelmarin.
• LIGA SUPER 2022
HASRAT Sarawak United FC (SUFC) untuk melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2022 tidak kesampaian selepas kalah 1-0 kepada Sabah FC di Stadium Negeri malam kelmarin.
Sabah FC memperoleh gol kemenangan menerusi kaptennya, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-80 menerusi sepakan penalti.
Pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanan Sarawak United FC, Gonzalo Manuel Soto mengkasari penyerang Sabah, Altemir Cordeiro Pessoa Neto.
Sebaik wisel permainan dibunyikan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun Sabah dilihat lebih agresif untuk menyerang.
Kekebalan benteng pertahanan Sarawak United ternyata menyukarkan jentera serangan Sabah.
Sarawak United kurang bernasib baik dalam perlawanan tersebut apabila jaringan yang diperolehi pada akhir perlawanan tidak dikira selepas terdapat pemain berada pada kedudukan ‘offside’.
Keputusan itu menyaksikan anak buah B.Sathianathan hanya mengumpul satu mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Sathianathan sebelum ini memberitahu, sebagai pendatang baharu Liga Super, matlamat pasukannya adalah untuk kekal dalam saingan liga.
“Kita akan terus fokus dari satu ke satu perlawanan dan seperti mana saya katakan pada awal musim, sasaran utama kita mahu kekal di Liga Super,” katannya.
Sarawak United yang merupakan naib juara Liga Premier musim lalu membawa masuk beberapa muka baharu seperti Francis Kone, Gonzalo Soto, Ahmad Kharil Anuar Ahmad Zamri, Boris Kok dan Raja Imran Shah Raja Amin.
Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan anak buah Sathianathan akan melayan kunjungan Terengganu FC di Stadium Negeri pada 14 April.