PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat melalui pelbagai inisiatif yang menyokong keterangkuman digital serta pemerkasaan pembangunan belia di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata
‘Sudut Amerika Sarawak’ atau lebih dikenali sebagai Lincoln Corner, menjadi wadah utama untuk berkongsi ilmu dalam bidang teknologi, pertukaran silang budaya dan pembangunan usahawan.
“Sudut Amerika Sarawak juga merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasakan golongan belia serta pembangunan bakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat pada majlis ulang tahun ke-20 Sudut Amerika Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Abang Johari turut menekankan bahawa Sudut Amerika Sarawak memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi kerajaan negeri menerusi pelan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
“Program yang disediakan di sini, termasuk bengkel digital, pertukaran maya, serta inisiatif berasaskan teknologi, telah memberi peluang kepada peserta untuk menguasai kemahiran dan teknologi terkini.
“Ini membolehkan belia dan komuniti kita terus maju dalam dunia yang semakin berkembang pesat dengan teknologi digital,” katanya.
Premier Sarawak turut menyatakan harapannya agar Sudut Amerika Sarawak terus memfokuskan program berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, yang disifatkan sebagai pemacu masa depan.
“Kita mesti memastikan Sarawak bukan sekadar penumpang dalam perjalanan ini, tetapi juga penyumbang aktif.
“Kecerdasan buatan mempunyai potensi untuk merevolusikan pelbagai industri, sekali gus memperbaiki kualiti hidup dan menyokong gaya hidup yang mampan,”jelasnya.
Beliau juga menekankan pentingnya menyediakan komuniti dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menguasai AI dan ekonomi digital, serta bagaimana Sudut Amerika Sarawak mampu menjadi pemangkin untuk membangunkan bakat tempatan dan keusahawanan, sekali gus membantu Sarawak menjadi peneraju di rantau ini.
Oleh SHAHRUL QAIZAT