SUDAN: Kedutaan Besar Malaysia di Sudan sudah mengambil langkah-langkah diperlukan untuk memantau keadaan serta keselamatan warga Malaysia, berikutan banjir besar yang disifatkan terburuk sejak lebih seratus tahun melanda Sudan.
Kedutaan, menerusi e-mel kepada Bernama pada Jumaat, berkata setakat ini tiada rakyat Malaysia terjejas akibat banjir berkenaan.
Bagaimanapun, katanya pihak kedutaan akan terus memantau keadaan termasuk kemungkinan penyakit bawaan air seperti kolera.
Menurut kenyataan itu, kedutaan juga menasihati rakyat Malaysia di Sudan menyimpan bekalan makanan dan air mencukupi, sentiasa menjaga kebersihan dan pastikan memakan makanan yang dimasak dengan sempurna.
“Sekiranya keadaan bertambah buruk, semua rakyat Malaysia telahpun mengetahui rancangan kecemasan kami.
“Kedutaan berhubung terus dengan perwakilan masyarakat Malaysia dan kami mempunyai sistem komunikasi yang baik membolehkan kedua-dua pihak saling melaporkan perkembangan terbaharu,” katanya.
Di samping itu, kedutaan menasihatkan rakyat Malaysia terus berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini oleh pihak berkuasa tempatan serta mengambil semua langkah pencegahan untuk memastikan keselamatan mereka.
Sungguhpun banjir di Sudan berlaku setiap tahun, musim hujan lebat pada Ogos tahun ini mengakibatkan air sungai Nil melimpah sehingga menenggelamkan kawasan dan penempatan.
Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan 46 cedera manakala lebih setengah juta mangsa terjejas.
Lebih 100,000 rumah dan harta benda juga dilaporkan rosak.
Pada 5 September, Majlis Keselamatan dan Pertahanan Sudan mengisytiharkan darurat tiga bulan di seluruh negara berikutan banjir berkenaan.
Menurut rekod kedutaan, terdapat hanya 34 rakyat Malaysia di Sudan, terdiri 12 petugas kedutaan dan keluarga mereka, 12 profesional dan keluarga selain 10 penuntut. Seramai 33 daripadanya tinggal di Khartoum, manakala seorang di Darfur.
“Pada masa ini, tidak ramai warga Malaysia di Sudan kerana kebanyakannya telah kembali ke tanah air ketika pandemik Covid-19 sedang memuncak di Sudan, universiti dan sekolah ditutup.
“Sekiranya anda berada dalam situasi kritikal semasa musim banjir, sila hubungi kami segera untuk bantuan,” katanya.
Rakyat Malaysia di Sudan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi kedutaan sepanjang masa, melalui Pegawai Bertugas di talian + 249-922799101 atau e-mel di mwkhartoum@kln.gov.my / krt.consular@kln.gov.my.- Bernama