SIMANGGANG: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang kononnya didakwa sepatutnya berlaku semalam atau pada hari ini (Jumaat) masih lagi menjadi teka-teki.
Ia berikutan tindakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyangkal khabar angin mengenai pembubaran DUN pada sidang media Majlis Pelancaran Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) di sini pagi semalam.
Beliau ketika ditanya oleh pemberita mengenai khabar angin itu tidak menafikan bahawa ada menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum ini namun hanya berbincang perkara berkaitan perintah darurat di Sarawak serta situasi semasa Covid-19.
Bagaimanapun Ketua Menteri enggan mendedahkan secara terperinci mengenai pertemuan beliau bersama Seri Paduka Baginda ketika ditanya oleh para pemberita pada sidang media berkenaan.
“Saya sememangnya ada menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (sebelum ini) namun ia hanyalah berkaitan dengan perkara perintah darurat dan situasi semasa Covid-19…itu sahaja.
“Bukan kuasa saya untuk menentukan bila PRN (Pilihan Raya Negeri)…ia kuasa Agong (Seri Paduka Baginda)…saya tak dapat nak beritahu dengan lebih terperinci sebab ia bukan kuasa saya,” kata beliau.
Selain itu Ketua Menteri juga enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan calon langsung Gabungan Parti Sarawak (GPS) andai kata Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas pembubaran DUN Sarawak.
“Saya belum tahu lagi mengenai perkara itu (calon langsung GPS) sebab pilihan raya pun belum lagi diadakan…saya datang sini hanya untuk hal SADA sahaja…cuma tunggu sajalah,” kata beliau.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata PRN Sarawak boleh diadakan pada bila-bila masa dengan Ketua Menteri hanya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk pelepasan Proklamasi Darurat.
Perintah Darurat dikuatkuasakan di Sarawak bagi membendung penularan COVID-19 dan akan tamat pada 2 Februari tahun depan.
Oleh VALENTINE NGUMBANG & JEAKQLEYN YACHO