KUCHING: Kerajaan Sarawak meneruskan pemberian subsidi lima hingga 25 peratus bagi bil elektrik untuk pengguna domestik, komersial dan industri di negeri ini bagi enam bulan pertama tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, subsidi tambahan berjumlah RM200 juta itu akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna domestik, komersial dan industri.
“Rakyat di Sarawak sudah menikmati diskaun antara lima hingga 25 peratus bagi bil elektrik bulanan sejak April 2020 apabila wabak Covid-19 mula tercetus, sebagai sebahagian inisiatif kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Diperkenalkan di bawah pakej bantuan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), diskaun itu memberi manfaat kepada pengguna dalam sektor domestik, komersial dan perindustrian.
Oleh NUR AIN OTSMAN