Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Subsidi diesel kekal di Sabah, Sarawak ambil kira faktor geografi, infrastruktur – Mustapha
  • NASIONAL

Subsidi diesel kekal di Sabah, Sarawak ambil kira faktor geografi, infrastruktur – Mustapha

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud

KOTA KINABALU: Langkah Kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak adalah dengan mengambil kira keunikan geografi serta cabaran infrastruktur yang dihadapi rakyat di kedua-dua negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata walaupun kerajaan sedang melaksanakan penyelarasan sementara subsidi bahan api demi memastikan pengurusan fiskal negara lebih mampan dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global, keputusan itu ialah bukti jelas bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar denyut nadi rakyat di Borneo.

“Keunikan geografi, kos logistik dan cabaran pembangunan di Sabah dan Sarawak diambil kira secara serius dalam setiap keputusan dasar nasional bersesuaian dengan penggunaan diesel yang agak tinggi di kedua-dua negeri.

“Sehubungan dengan itu, sebarang perubahan dasar berkaitan bahan api memberikan kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat serta aktiviti ekonomi setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakyat Sabah dan Sarawak masih menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter dengan penggunaan terkawal, selain pelaksanaan inisiatif seperti Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99 seliter dengan had yang diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan.

Mustapha berkata dalam pelaksanaan dasar itu, penting untuk semua pihak termasuk pengguna, pengusaha industri dan agensi penguatkuasaan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan dasar berkenaan berjalan dengan baik dan memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas perhatian yang diberikan terhadap keperluan rakyat Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan dasar ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri dalam perutusan khas berkata kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula pada 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Anwar berkata had siling bagi e-hailing dan pekerja gig dikekalkan hingga 800 liter, mengambil kira tanggungjawab, pekerjaan serta urusan mereka, manakala Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel telah meningkat.

Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan lebih 400,000 kenderaan daripada sektor pengangkutan awam dan barangan darat seperti bas ekspres, teksi, lori, treler barangan dan lain-lain, kekal dilindungi melalui skim subsidi bersasar, termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata kebergantungan tinggi terhadap diesel di kedua-dua negeri itu bukan sahaja melibatkan sektor pengangkutan, tetapi turut merangkumi penggunaan generator elektrik, operasi bot bagi aktiviti perikanan dan sebagainya.

Beliau berkata subsidi diesel turut membantu mengekalkan kestabilan harga barangan asas memandangkan sebahagian besar bekalan dihantar dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Struktur geografi Sabah dan Sarawak yang berbeza berbanding Semenanjung Malaysia serta tahap pendapatan yang lebih rendah menyebabkan ramai penduduk bergantung pada diesel … selain penggunaan generator kepada yang memerlukan bahan api tersebut.

“Jika kos bahan api meningkat, kos logistik turut naik dan akhirnya harga barang pada peringkat pengguna akan meningkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustazar berkata kawalan dari segi kuantiti bekalan diesel yang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah antara langkah bagi memastikan penggunaan lebih berhemat, terutama dalam keadaan bekalan global yang tidak menentu.

Sebagai langkah seterusnya, beliau menyarankan agar kerajaan memastikan subsidi diesel disalurkan secara tepat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan, selain menekankan kepentingan kerajaan untuk terus turun padang mengadakan sesi dialog dengan rakyat pada peringkat akar umbi bagi memahami kesan dasar subsidi terhadap kehidupan harian mereka.

“Kita tengok pendapat rakyat sebab mereka yang merasa, bukan mereka yang di ‘atas’, kita bimbang kerajaan terlepas pandang apa yang berlaku di ‘bawah’,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pengekalan had 800 liter RON95 mampu dorong e-panggilan jadi pilihan alternatif pengguna
Next: Asia Barat: Taklimat khas bersama kepimpinan negeri, parti politik minggu depan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.