KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) melahirkan kebimbangan terhadap kandungan subjek Sains dan Matematik sekolah rendah yang dianggap terlalu padat dan membebankan murid.
Presiden KGBS, Zulkiflee Sebli berkata, KGBS sememangnya bersetuju dengan kenyataan Pensyarah Pendidikan Universiti UCSI Kuala Lumpur, Dr Othman Talib baru-baru ini yang menyifatkan kandungan subjek Sains dan Matematik sekolah rendah ketika ini terlalu banyak dan padat hingga membosankan murid.
“Kita bersetuju bahawa silibus sekolah rendah terlalu ke hadapan sehingga menyukarkan murid menguasai kemahiran yang diajar guru terutama bagi subjek Matematik.
“Berbanding subjek Sains yang lebih terbuka dengan ada eksperimen mudah dan ringkas sudah pasti lebih menarik minat murid untuk belajar.
“Murid sekolah rendah yang lemah dalam akademik, mereka lebih fobia kepada nombor berbanding dengan abjad atau huruf A hingga Z pada setiap kali proses pembelajaran ini berlangsung.
“Walaupun bagi sesetengah orang Matematik itu mudah dan menyeronokkan tapi bagi yang kurang bijak atau dalam kata lainnya lemah, Matematik merupakan satu subjek yang boleh membunuh mereka,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Dalam pada itu, Zulkiflee berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memainkan peranan penting dan perlu melihat perkara ini hingga ke akar umbi sekali gus memikirkan jalan yang sesuai untuk membantu murid.
“Wajarlah KPM ketika ini untuk memikirkan kaedah yang lebih sesuai untuk memastikan murid seronok belajar dan suka bersekolah.
“Jika KPM bercadang mahu mengurangkan silibus, KGBS cadangkan diadakan siri libat urus bersama pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran di sekolah.
“Antaranya pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan guru selain dengan guru yang berada di sekolah agar banyak input yang mungkin berguna untuk kita menambah baik silibus yang ada sekarang.
“Secara jujurnya jika dibandingkan kedua-dua subjek Matematikc dan Sains sekolah rendah, kita lebih risaukan kes murid yang tidak mengenal huruf. Jadi ibu bapa dan guru harus bersedia dengan kaedah dan ‘kerja rumah’ jika tidak mahu anak-anak mereka tenggelam dalam silibus sedia ada,” katanya.
Zulkiflee berkata, KPM juga harus memandang perkara ini sebagai satu cabaran untuk menambah baik silibus yang ada sekarang dan mana-mana tajuk yang memberi tekanan kepada murid dan juga guru digugurkan daripada unit atau tajuk pembelajaran.
“Kita juga risau dengan teknologi yang ada sekarang, yang menggunakan Kecerdasan buatan (AI). Kita khuatir silibus yang ada nanti akan ditambah buruk sedangkan kita mahukan silibus yang ditambah baik demi masa depan anak-anak kita.
“Kita harus sedia maklum bahawa implikasi Covid-19 sebelum ini telah sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada pendidikan kita.
“Ramai dalam kalangan anak-anak sekolah yang tergantung persekolahan formal angkara Covid-19 masih gagal menguasai kemahiran asas walaupun sudah berada di sekolah menengah,” katanya.
Oleh Nickelyson Lakun