KUCHING: Sarawak sudah mendapat kebenaran untuk memulakan subjek elektif berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia diadakan melalui cawangan Universiti Malaya (UM) di Sarawak.
“Kami telah diberi kebenaran untuk menjalankan kursus undang-undang, LLB di Sarawak melalui cawangan UM.
“Swinburne juga menawarkan kursus undang-undang dengan pilihan subjek elektif, termasuk undang-undang NCR (Tanah Hak Adat Bumiputera), undang-undang adat kita, serta MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Apresiasi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini malam tadi.
Abang Johari berkata pelajar yang mengambil jurusan undang-undang wajar memahami rasional di sebalik MA63 dan mengapa Sarawak diberi layanan khas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan ini penting untuk mendidik individu tentang hak dan kedudukan Sarawak secara akademik dan berfakta, bukan sekadar dari sudut politik semata-mata.
“Mereka perlu mempelajari semua terma dalam Perjanjian Malaysia. Kalau tidak, ia akan menjadi terlalu politikal.
“Untuk mempelajari perundangan tersebut memerlukan individu yang dapat memahami rasional di sebalik semangat MA63,” katanya.
Justeru, beliau berkata galakkan kepada pelajar untuk memahami makna tersirat mengenai MA63 dapat membantu mereka melihat usaha yang dilakukan kerajaan Sarawak masa kini bukan bermotifkan tamak, tetapi tuntutan berdasarkan perlembagaan yang sedia ada.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin; serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Oleh Noor Ikmal