KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, 11 tahun lepas.
Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Zizie Izette semasa dihubungi mengesahkan mengetahui notis rayuan yang difailkan pendakwaan pada 31 Julai lepas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Berdasarkan notis itu, pendakwa raya selaku perayu menyatakan tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad pada 20 Julai lepas yang melepaskan dan membebaskan Zizie Izette pada akhir kes pembelaan.
Zizie Izette selaku responden dibebaskan daripada tiga pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Sehubungan dengan itu, pendakwa raya merayu terhadap keputusan itu dan memohon di bawah seksyen 307(5) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), salinan nota keterangan berserta dengan alasan penghakiman.
Pada 20 Julai, Rosli membebaskan Zizie Izette, 47, yang juga isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Rosli berkata berdasarkan otoriti adalah jelas menunjukkan bahawa satu daripada elemen kesalahan subahat yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan adalah pembuktian kesalahan prinsipal iaitu si mati (Bung Moktar) telah memperoleh rasuah iaitu satu kesalahan di bawah perenggan 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut Rosli, susulan daripada perintah pelepasan dan pembebasan itu telah menyebabkan elemen pembuktian kesalahan subahat terhadap tertuduh (Zizie Izette) iaitu pesalah prinsipal dan juga si mati telah melakukan kesalahan rasuah telah terjejas.
Zizie Izette didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.
Bagaimanapun, pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.
Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.
Beliau juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya juga bagi tujuan sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- Bernama




