
KOTA SAMARAHAN: Suasana hangat dan mesra menyelubungi Rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan apabila Biro Rumahtangga PERKEP dengan kerjasama Kemas Bahagian Samarahan berjaya menganjurkan Program Masakan Pastri (Membuat Roti) yang berlangsung penuh semangat dan keterujaan dalam kalangan para peserta.
Program tersebut disertai oleh 18 ahli PERKEP, dan turut diserikan dengan kehadiran Pemaju Masyarakat Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PM PKK), Nor Asdianti Lamni, bertindak sebagai pengendali demonstrasi utama.
Beliau melakukan demonstrasi penyediaan pelbagai jenis roti pastri yang bukan sahaja membuka selera, tetapi juga membuka minda peserta terhadap seni pembuatan roti yang mudah dan praktikal untuk diaplikasikan di rumah.
Program ini turut memperlihatkan kerjasama erat antara Kemas dan PERKEP sebagai tonggak penting dalam menyemai semangat kebersamaan dan pembangunan komuniti berasaskan keluarga sejahtera.