PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bergambar kenangan ketika menghadiri majlis perjumpaan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuala Lumpur kelmarin.
BUAT kali pertama, Kaukus Borneo ditubuhkan bertujuan untuk kerjasama politik dan mewujudkan satu suara bagi menyokong serta mengukuhkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perdana Menteri semasa.
Ia dipersetujui Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah pada sesi taklimat khas Ahli Parlimen Borneo sempena sidang Dewan Rakyat di ibu negara, kelmarin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dilaporkan berkata Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menerima baik idea itu.
Katanya, turut dibincangkan pada perjumpaan itu ialah perkara yang berkaitan dengan cadangan untuk mengembalikan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak.
“Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyokong penuh idea yang mana kita seharusnya memiliki satu suara yang sama untuk melindungi dan melaksanakan rukun serta asas MA63 selain menyatakan siapa yang harus menjadi Perdana Menteri seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Turut dibincang adalah;
* Kemungkinan untuk menginstitusikan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sebagai rangka kerja tetap dalam melaksanakan kerja yang berkaitan.
* Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membuat susulan cadangan Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang sudah dipersetujui sepenuhnya oleh Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
* Langkah seterusnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan hubungan kerja berpotensi secara rasmi dalam kalangan parti politik di kedua-dua negeri Borneo.
“Kita berpuas hati dengan reaksi dan maklum balas yang diterima daripada semua Ahli Parlimen sama ada dari blok kerajaan atau pembangkang,” kata Ongkili.
Halangan fahaman politik
Inilah sebenarnya perkara yang ditungu-tunggu dan akhirnya kedua-dua negeri Borneo menampakkan permuafakatan yang diharap tidak terhalang oleh fahaman politik masing-masing.
Jika mereka berjaya menjadikan Kaukus Borneo ini satu kenyataan, suara Sarawak dan Sabah akan menjadi lebih padu, untuk memperjuangkan hak serta kepentingan kedua-dua negeri apabila berbahas di Dewan Rakyat.
Tidak kira parti mana yang berjaya memerintah Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti dan siapa Perdana Menteri ke-10, Sarawak dan Sabah diharap terus bersatu untuk memperjuangkan kepentingan Borneo.
Kedua-dua negeri mempunyai parti politik tempatan masing-masing yang harus memainkan peranan bagi menjayakan kaukus ini. Cuma bezanya ialah UMNO ada di Sabah, tetapi tiada di Sarawak.
Kesepaduan suara ini akan mempermudahkan segala tuntutan terutama berkisar kepada MA63 selain tuntutan untuk mengembalikan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak.
Sarawak dan Sabah kini mempunyai jumlah 56 Ahli Parlimen (31 di Sarawak dan 25 di Sabah) iaitu merangkumi 25 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Jika satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, bermakna 78 kerusi sepatutnya dari Sarawak dan Sabah. Ini bermakna, perlu ditambah 22 kerusi Parlimen lagi untuk memenuhi keperluan 35 peratus.
Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu kesemuanya mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Kembalikan 35 peratus kerusi Parlimen
Oleh itu, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu.
Justeru, setelah ketiadaan Singapura, seharusnya kerusi yang dimiliki republik itu diberi kepada Sabah dan Sarawak sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Tambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak itu akan dapat memberi keseimbangan suara sekali gus sebagai jaminan hak negeri yang sepatutnya didengari.
Penulis tertarik dengan kenyataan Ongkili kelmarin apabila menyebut ‘Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyokong penuh idea yang mana kita seharusnya memiliki satu suara yang sama untuk melindungi dan melaksanakan rukun serta asas MA63 selain menyatakan siapa yang harus menjadi Perdana Menteri seterusnya.’
Ungkapan ‘siapa yang harus menjadi Perdana Menteri seterusnya’ sudah semestinya memberi gambaran Sarawak dan Sabah adalah ‘king maker’ apatah lagi jika 35 peratus kerusi Parlimen diperuntukan untuk dua negeri di Borneo ini nanti.
Sebelum ini pun, Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara ‘solo’ sudah menjadi ‘king maker’ dalam pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 2020 dan Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 2021.
Apabila semua Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah bersatu hati melalui Kaukus Borneo, bukan saja boleh jadi penentu siapa Perdana Menteri, malah memperjuangkan supaya kerusi Perdana Menteri diduduki orang Borneo suatu hari nanti, jika tidak pun Timbalan Perdana Menteri?
Semua ini dalam jangkauan jika rakyat Borneo bersatu ketika keadaan politik berkecamuk dan berpecah dalam banyak kumpulan di Semenanjung.
Seperti kata Ongkili, langkah seterusnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan hubungan kerja berpotensi secara rasmi dalam kalangan parti politik di kedua-dua negeri Borneo.
Dalam hal ini, perlu dibentuk jawatankuasa petugas khas mewakili semua parti politk di Sarawak dan Sabah, bagi mencari jalan bagaimana membentuk kerjasama politik itu.
Bab ini bukan mudah kerana fahaman politik masing-masing apatah lagi di Sabah ada UMNO yang semestinya setiap keputusan itu memerlukan persetujuan ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.
Namun, ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan, demi kepentingan Borneo.
Apa diharap padi seberang,
Entah berbuah entahkan tidak;
Andai Borneo bersatu sarang
Manakan penjolok berani menidak.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak