SIBU: Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat dan tuai rumah perlu diperkukuh bagi memastikan masalah asas serta keperluan penduduk di kawasan Bawang Assan dapat dikenal pasti dan ditangani secara lebih berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau berkata, pendekatan turun padang dan pertemuan bersemuka penting bagi membolehkan permasalahan rakyat dibincangkan secara terus.
Menurutnya, tuai rumah memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang paling hampir dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Program Pemimpin Bersama Rakyat bukan sekadar untuk mengeratkan hubungan, tetapi lebih penting kita dapat berjumpa secara bersemuka dan berhubung secara langsung dengan penduduk.
“Sebarang masalah boleh dibincangkan bersama supaya kita dapat mencari penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi penduduk,” ujarnya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah (Rh) Maramat Gelana, Lubok Pelaie, Pasai, semalam.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan itu berkata, jalan menuju Rh Doris dan Rh Augustine Merikan bakal dinaik taraf menggunakan dana MARRIS melalui MDLBS.
“Saya percaya kerja menaik taraf ini akan dilaksanakan tahun ini. Ahli-ahli majlis mempunyai peranan untuk bekerjasama dengan Tuai Rumah bagi memastikan keperluan penduduk dapat disampaikan dan diberi perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, program berkenaan turut menyediakan kaunter perkhidmatan bergerak bagi membolehkan warga emas mendapatkan maklumat serta membuat pendaftaran bantuan perubatan RM500 yang disediakan kerajaan Sarawak.
Katanya, bantuan berkenaan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan boleh digunakan dalam tempoh setahun bagi mendapatkan rawatan doktor, membeli ubat serta mendapatkan bekalan ubat dari farmasi.
“Saya berharap golongan warga emas mengambil peluang ini dan membuat pendaftaran bagi mendapatkan manfaat daripada inisiatif yang disediakan kerajaan Sarawak.
“Program seperti ini merupakan platform untuk kita menyampaikan dasar serta maklumat kerajaan kepada masyarakat secara terus,” katanya.
Katanya, suara serta keperluan yang disampaikan pemimpin masyarakat akan terus diberi perhatian bagi memastikan pembangunan Bawang Assan dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk aspek infrastruktur dan peningkatan taraf hidup penduduk.
Oleh Akun Giman




