
SELANGAU: Perjalanan sepasang suami isteri berakhir tragedi apabila motosikal dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori rosak di Kilometer 97, Lebuh Raya Pan Borneo Sibu-Bintulu, Sepiring di sini, semalam.
Dalam kejadian sekitar 7.45 malam itu, kedua-dua mangsa yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Selangau sebelum motosikal ditunggang lelaki terbabit hilang kawalan lalu melanggar lori yang diletakkan di bahu jalan.
“Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mereka dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau 084-871222, atau mana-mana balai polis berhampiran.