APABILA Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau memastikan pembentukan Kabinet pertamanya berdasarkan demografi negara iaitu penglibatan golongan Melayu Bumiputera Islam dan bukan Islam dengan seimbang.
Ia sesuai dengan demografi negara.
Daripada penyertaan keanggotaan Kabinet, terdapat 44 daripada 58 anggotanya adalah Bumiputera.
Kesemua ini mewakili 76 peratus terdiri daripada Bumiputera, 19 peratus Cina dan lima peratus India.
Tindakan ini dilakukan oleh Anwar sebagai Perdana Menteri untuk membuktikan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan ini masih lagi sebuah kerajaan Melayu Islam dengan penglibatan ramai Bumiputera Islam dan bukan Islam, pada masa yang sama tidak mengabaikan etnik-etnik lain seperti Cina dan
India dalam Kabinet.
Tindakan ini dapat menangkis propaganda pembangkang iaitu Perikatan Nasional yang menuduh apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, masyarakat Melayu Islam kurang mendapat tempat dan kedudukan.
Pembentukan kerajaan berteraskan Melayu Islam
Berdasarkan analisis etnik dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, terdapat 16 Melayu, lima Cina, satu India, enam Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menjadikan jumlah 28 Ahli Kabinet.
Dakwaan musuh Anwar kononnya DAP akan menguasai kerajaan apabila Anwar menjadi Perdana Menteri terbukti tidak benar dan tidak lebih sebagai menggunakan naratif Melayu dan Islam terancam untuk menakut-nakutkan orang Melayu Islam agar tidak menyokong kepemimpinan Anwar.
Pelantikan Kabinet ini sangat signifikan membuktikan Anwar tidak pernah meminggirkan naratif Melayu Islam apabila beliau menjadi Perdana Menteri.
Pada masa sama, Anwar juga melantik etnik Cina, India dan Bumiputera bukan Islam bagi menunjukkan bahawa pemerintahannya bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana etnik dan agama.
Meminimumkan penyertaan DAP
DAP sering menjadi ‘punch beg’ kepada pembangkang terStrategi kukuhkan Kerajaan Perpaduan utamanya oleh parti PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kewujudan DAP seolah-olah menjadi ‘hantu’ yang dicipta untuk menakut-menakutkan orang Melayu supaya menolak DAP dan sesiapa sahaja yang cuba bekerjasama dengan DAP terutama UMNO dan PKR.
Yang peliknya, usaha menakut-nakutkan ini dilakukan oleh PAS dan Bersatu yang pernah bersekutu dengen DAP.
Ketika bersama selama tiga kali DAP, PAS banyak mempertahankan dasar dan tindak-tanduk DAP.
Begitu juga parti Bersatu yang sanggup bekerjasama dengan DAP demi mendapat kuasa dan
kemenangan pada pilihan raya umum 2018.
Namun apabila tidak lagi bekerjama, PAS dan DAP meneruskan tindakan memburuk-burukkan DAP seolah-olah tidak ada yang baik DAP lakukan selama ini.
Pelbagai tuduhan negatif dilontarkan termasuk liberal, agenda kristianisasi, pro komunis
dan sebagainya.
DAP sedar bahawa tuduhan negatif ini meskipun tidak benar, akan tetapi mampu mempengaruhi pemikiran pengundi terutamanya Melayu di luar bandar dan separuh bandar.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mahathir yang mendoktrinisasi orang Melayu Islam selama 22 tahun dan memberikan gambaran yang sangat negatif terhadap parti itu.
Atas tindakan ini, DAP memainkan peranan untuk mengelak terlibat terlalu dominan dalam Kabinet yang dibentuk. Malah pada masa sama, DAP memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Sarawak yang menyinggung perasaan yang dibuat pemimpin parti tersebut.
Apabila ini berlaku, bermakna DAP sanggup berjiwa besar bagi memastikan bergerak ke depan untuk membina negara lebih diutamakan daripada permusuhan politik selama ini.
Sri Perdana lambang naratif Melayu Islam
Tempat kediaman rasmi Perdana Menteri merupakan sebuah tempat kediaman tertinggi negara dan pernah dianggap kawasan kediaman elit politik negara sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
Sukar untuk mendatangi ke kediaman rasmi kecuali pada hari-hari perayaan tertentu seperti Hari Raya.
Namun begitu, Anwar menjadikan kediaman rasmi itu sebagai tempat kegiatan ‘dakwah’ dan kebajikan rakyat dan ini menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang membuka Sri Perdana kepada rakyat setiap minggu.
Beliau menjadikannya sebagai tempat berlangsung majlis agama dengan program-program agama dan ilmu pada setiap minggu.
Kediaman rasmi itu juga akan dibuka untuk program temu mesra dengan pimpinan NGO
dan sebagainya.
Kesemua ini menjadikan tempat tersebut sebagai pusat menimba ilmu dan menjalinkan hubungan ukhawah sesama rakyat Malaysia.
Tindakan Anwar ini memaparkan beliau adalah sebenarnya mesra rakyat, mencintai budaya ilmu, banyak menggalakkan program agama, masih mempunyai ikatan baik dengan pertubuhan kebajikan dan bukanlah seorang liberalis dan pendukung agenda LGBT seperti tuduhan musuh politik yang sengaja mahu menjatuhkan karier politik Anwar sejak dari dahulu lagi.
Apabila ini berlaku menjadikan naratif Melayu Islam dibawa oleh Anwar menjadi contoh teladan kalangan pemimpin-pemimpin lain menyentuh isu Melayu Islam, namun tidak pernah melaksanakannya secara perbuatan.
Penekanan isu Melayu Islam sebenar
Naratif Melayu Islam Anwar telah membawa kedudukan imej Islam yang lebih baik kepada orang Islam dan bukan Islam di negara ini.
Beliau sejak awal pemerintahannya dilihat serius mahu menjadikan naratif Melayu islam yang perlu dijelmakan dalam bentuk nilai dalam tata laksana kenegaraan.
Seperti sering diulang-ulangkannya, beliau mahu buktikan bahawa terdapat anak melayu yang membela Melayu, Islam dan hak-hak bukan orang Islam juga terus dipelihara.
Anwar berpengalaman dalam dakwah melakukan secara bijaksana menjadikan kasih sayang, hormat menghormati, mencintai ilmu untuk membina kekuatan negara.
Beliau juga menolak politik fitnah atau kebencian disebarkan oleh pihak yang mengaku kononnya
mereka perjuangkan Islam.
Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau telah memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengangkat kedudukan penghayatan agama Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.
Selain itu, beliau akan mengangkat hak Bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Beliau menegaskan termaktub dalam Perlembagaan kedudukan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Terdapat keperluan untuk menjelaskan kerana dalam sistem pemerintahan menetapkan juga kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Beliau tidak mahu ia hanya dijadikan sebagai slogan enteng, tetapi ia haruslah ada usaha
yang lebih berkesan.
Sebelum ini, terdapat suara keresahan daripada masyarakat dan dipermainkan oleh golongan politik
tertentu tanpa mengira wacana, perbahasan serta serangan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan ini perlu diberikan pencerahan.
Yang penting Anwar sering menegaskan Kerajaan Perpaduan akan tetap menjunjung semangat perlembagaan serta melaksanakannya secara terbaik.
Rumusan
Naratif Melayu Islam pada asalnya berasal daripada demografi negara yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama, kemudian diikuti Islam sebagai agama Persekutuan dan Melayu mempunyai kedudukan istimewa dalam perlembagaan negara.
Lama-kelamaan ia menjadi naratif politik oleh parti berasaskan etnik dan agama untuk mendapat tempat dan kedudukan.
Pada mulanya dimainkan oleh parti UMNO dan BN kemudian diambil alih sentimen ini oleh PAS dan Bersatu dalam lima tahun kebelakangan ini.
Akibatnya masyarakat Melayu dan Islam terpengaruh akibat propaganda dan kekeliruan serta mudah bagi Perikatan Nasional mendapat keuntungan politik.
Ini juga menyebabkan sentimen Melayu dan Islam menjadi politik parokial, sempit, dangkal dan mengelirukan.
Perkara ini menjadi tugas besar apabila Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri beliau berazam untuk
memastikan naratif Melayu Islam diberikan perspektif yang tepat dan menyeluruh.
Beberapa tindakan yang dilakukan beliau pada peringkat awal ini jika dilakukan secara berterusan akan menjadi naratif Melayu Islam di Malaysia akan menjadi lebih moderat dan progresif.
Juga, akan menyebabkan budaya politik Melayu Islam yang lebih matang dan menolak politik kepartian yang sempit.
Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)