Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • STR Fasa 3: Penerima bersyukur dapat beli barangan dapur dan sekolah anak-anak
  • NASIONAL

STR Fasa 3: Penerima bersyukur dapat beli barangan dapur dan sekolah anak-anak

Utusan Sarawak 1 day ago
PEMBANTU Operasi Cottage Inn Gerik Nur-Atiyah Mohd Yusainee 27, yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyemak jumlah bantuan yang diterima melalui portal yang disediakan susulan pengumuman agihan STR fasa 3 yang bermula hari ini. Sejumlah 8.6 juta rakyat Malaysia akan menreima pembayaran STR Fasa 3 mulai hari ini, dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Tiga yang mula disalurkan hari ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, dengan penerima memanfaatkan bantuan itu untuk memenuhi pelbagai keperluan keluarga.

Di KEDAH, Noor Syakilah Adzhar, 42, dari Taman Wira Mergong dekat sini, yang berniaga sendiri berkata bantuan STR itu dapat membantu beliau membeli barangan keperluan terutamanya lampin pakai buang dan susu formula untuk dua anak lelaki kembarnya yang berusia empat tahun.

“Suami ambil upah memotong rumput. Jadi, pendapatan memang tidak menentu. Dari segi perbelanjaan memang perlu berjimat, bantuan STR ini memang dapat bantu kami beli barangan keperluan dan makanan untuk kami enam sekeluarga,” katanya kepada Bernama. 

Seorang pesara Borhan Abd Rahim, 67, dari Taman Berjaya, dekat Pendang yang  tinggal seorang diri sejak kematian isterinya tiga tahun lepas berkata bantuan STR yang diperoleh itu akan digunakan untuk membeli bahan makanan seperti beras, minyak dan gula.

“Syukur kerana kerajaan ambil berat golongan warga emas macam saya ini, duit ini saya akan gunakan secara berhemah,” katanya.

Sementara itu, di MELAKA, seorang tukang kasut Asyraf Ismail, 35, dari Ayer Keroh mengakui STR yang diterima hari ini meringankan beban kewangan untuk membeli barangan keperluan rumah terutama pada hujung bulan.

“Jumlahnya memang tidak banyak tapi sedikit sebanyak memberi peluang saya menambah stok barangan makanan untuk anak-anak ketika cuti hujung bulan nanti. Jadi, ia sangat membantu saya yang mempunyai tiga orang anak yang sedang membesar,” katanya.

Di PERAK, peniaga makanan Mohd Rithauddeen Mohd Mustapha, 48, berkata STR digunakan untuk membeli keperluan asas di rumahnya bagi menyara kehidupan keluarga.

“Memang kebiasaannya apabila STR masuk, saya akan beli barang rumah dan dengan STR dapatlah beli lebih sikit (keperluan rumah).

“Saya harap STR ini dapat diteruskan sebab sekarang pun kos sara hidup agak tinggi. STR juga memang membantu meringankan beban,” kata bapa kepada tiga anak yang berasal dari Ipoh.

Di KELANTAN, suri rumah Norizan Hasan, 57, berkata wang tunai yang dikeluarkan hari ini digunakan untuk membeli barangan keperluan tambahan lain bagi kegunaan mereka sekeluarga.

“Macam duit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terhad kepada premis dan barangan tertentu tetapi dengan wang tunai STR ini kita bebas untuk membeli apa sahaja keperluan lain.

“Hari ini saya gunakan duit STR untuk beli beras jenis basmati agar anak-anak dapat merasa nasi lemak daripada beras yang lebih premium selain barangan lain,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar borong dekat Pasir Tumboh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohidin Sugarin, 52, seorang nelayan dari Tuaran di SABAH memberitahu bantuan itu tepat pada masanya kerana harga minyak bot dan peralatan menangkap ikan semakin meningkat.

“Bantuan ini sangat memberi kesan kepada kami di Sabah. Kos pengangkutan barang dari Semenanjung menyebabkan harga barang di sini lebih tinggi. Dengan RM650 ini, saya boleh membeli peralatan menangkap ikan baharu dan memperbaiki pukat yang rosak,” katanya.

Bagi Juriah Muntang, 45, seorang peniaga kecil-kecilan di Pasar Kota Belud, bantuan itu akan digunakan untuk membiayai persekolahan tiga anaknya.

“Memang susah bagi kami yang tinggal di kawasan pedalaman. Kadang-kadang hujan berterusan menyebabkan jalan terputus dan saya tidak boleh ke pasar untuk berniaga. STR ini membantu meringankan beban kewangan saya, terutama untuk beli buku dan alat tulis anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Ligundao Akoi, 63, seorang pesawah padi di Kota Marudu, menyambut baik langkah kerajaan membuka permohonan dan rayuan, sekali gus membuktikan kerajaan prihatin dalam membantu rakyat.

“Banyak orang kampung di sini tidak tahu cara memohon bantuan kerajaan. Ada yang tiada telefon pintar dan internet. Cara baharu ini beri lebih banyak masa permohonan dan lebih ramai yang layak akan dapat bantuan,” ujarnya.

Di SARAWAK, Alvin Ayin, 37, menyifatkan STR sebagai penyelamat dalam menampung keperluan seisi keluarga, sekali gus membolehkannya menyediakan barang keperluan asas tanpa perlu menunggu bayaran gaji.

“Dengan duit ini, saya dapat beli keperluan dapur dan sedikit barangan sekolah untuk anak-anak,” kata bapa kepada dua anak yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat penyimpanan sejuk beku di Kuching.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyalurkan pembayaran STR Fasa Tiga bermula hari ini, melibatkan peruntukan RM2 bilion sebagai langkah Kerajaan MADANI meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.– Bernama

Continue Reading

Previous: STR jadi talian hayat ibu tunggal sara keluarga
Next: Kemuncak fenomena hujan meteor Perseids bermula lewat malam ini – MYSA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.