

SARATOK: Sebuah stor penyimpanan kerusi dan meja di Taman Muhibbah terbakar hari ini, namun kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut diterima pada 2.09 petang.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Abdul Rahman Sabi bergegas ke lokasi sejauh empat kilometer dan tiba enam minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan kerusi dan meja dengan anggaran kemusnahan kira-kira lima peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 100 kaki satu nozel dan dua aliran salur bantu mula. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.40 petang sebelum operasi tamat 14 minit kemudian.
“Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” tambah kenyataan itu. Oleh Adi Safarman