Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • STOLport Long Banga, Marudi nadi perhubungan komuniti pedalaman Baram
  • TEMPATAN

STOLport Long Banga, Marudi nadi perhubungan komuniti pedalaman Baram

Utusan Sarawak 7 hours ago
KENANGAN…Datuk Hasbi Habibollah bergambar dalam lawatan beliau serta rombongan ke STOLport Marudi. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, mengadakan lawatan kerja ke Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Marudi bagi meninjau keadaan serta keperluan menaik taraf kemudahan pengangkutan udara di kawasan pedalaman Sarawak, semalam.

Lawatan itu diadakan selepas beliau mengunjungi STOLport Long Banga dalam usaha menilai kemudahan sedia ada serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan udara luar bandar di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, yang turut serta dalam lawatan itu berkata, lawatan berkenaan penting memandangkan STOLport Long Banga dan STOLport Marudi memainkan peranan strategik sebagai penghubung utama kepada komuniti luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Baram.

Menurut beliau, walaupun rangkaian jalan raya terus dipertingkatkan, perkhidmatan udara masih menjadi keperluan utama bagi ramai penduduk yang tinggal jauh dari pusat bandar.

“STOLport Marudi khususnya masih diperlukan untuk menghubungkan penduduk di kawasan Baram serta menjadi laluan penting bagi penghantaran bekalan harian,” katanya.

Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, banyak barangan keperluan asas dan runcit untuk komuniti pedalaman seperti Long Banga, Long Seridan, Long Lellang dan Bario diangkut melalui perkhidmatan udara kerana ia lebih cepat dan efisien.

DATUK Hasbi bersama Datuk Gerawat Gala, Datuk Dr Jerip Susil dan yang lain meninjau keadaan STOLport Marudi. Foto Jiku Juguong

Sehubungan itu, beliau berkata kemudahan di kedua-dua STOLport berkenaan perlu diberi perhatian dan dinaik taraf bagi memastikan tahap keselamatan, keselesaan serta kecekapan operasi dapat dipertingkatkan.

“Kemudahan terminal yang lebih baik, ruang menunggu yang selesa serta infrastruktur yang memenuhi keperluan semasa akan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada penumpang dan pengguna perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan, pihak berkuasa berkaitan serta semua pihak yang terus komited dalam memperkukuh jaringan pengangkutan udara luar bandar demi kesejahteraan rakyat Sarawak, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada perkhidmatan udara.

Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil; Setiausaha Bahagian Udara, Kementerian Pengangkutan (MOT), Mohd Radzuan Mazlan; serta Penasihat Teknikal Udara, Kementerian Pengangkutan (MOTS), Sio Yew Hua.

Oleh Jiku Juguong

Continue Reading

Previous: Gelanggang kaca baharu lonjak Sarawak sebagai hab skuasy serantau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.