

MARSEILLE, Perancis: Stoking lama berkilau yang pernah dipakai Raja Pop, Michael Jackson, ketika membuat persembahan di Perancis pada 1997 dilelong lebih AS$8,000 (kira-kira RM41,000), semalam.
Sepasang stoking itu dijual pada harga berkenaan di sebuah rumah lelongan di Nimes, selatan Perancis.
Barangan ikonik itu ditemukan seorang juruteknik berhampiran bilik persalinan Michael selepas konsert di Nimes pada Julai 1997.
Pelelong, Aurore Illy berkata, stoking itu dianggap sangat luar biasa, malah menjadi objek ‘kultus’ dalam kalangan peminat setia Michael.
“Ia benar-benar objek yang luar biasa, malah dianggap sebagai barangan ‘kultus’ buat peminat Michael Jackson,” katanya.
Jackson ketika itu memakai stoking sukan putih yang dihiasi batu permata dalam konsert jelajah ‘HIStory World Tour’ di Perancis.
Menurut laporan media itu, stoking berkenaan juga pernah dilihat dalam rakaman persembahan lagunya yang cukup ikonik, Billie Jean.
Bagaimanapun, selepas lebih dua dekad, stoking berwarna putih itu kini kelihatan lusuh dan dipenuhi kesan kotoran manakala batu permatanya turut kekuningan.
Stokin berkenaan pada asalnya dianggarkan bernilai antara AS$3,400 hingga AS$4,500 (kira-kira RM15,980 hingga RM21,150), namun akhirnya dijual pada harga AS$8,822 (kira-kira RM37,400) di rumah lelongan Nimes.
Dalam pada itu, sebuah resort perjudian di Macau, selatan China, pernah membeli sarung tangan berkilauan milik Michael pada harga AS$350,000 (RM1.48 juta) pada 2009, yang dipakai penyanyi itu buat pertama kali ketika melakukan tarian ‘moonwalk’ pada 1983.
Sementara itu, topi yang dipakai penyanyi terbabit sebelum persembahan sama turut dilelong lebih AS$80,000 (RM339,100) di Paris pada 2023.
Michael meninggal dunia akibat dos berlebihan pada 2009 ketika berusia 50 tahun. – AFP