
MIRI: Hospital Miri kini berdepan kekurangan bekalan darah selepas sebanyak 140 beg darah digunakan dalam tempoh seminggu lalu, menyebabkan stok semasa berada pada paras rendah terutama bagi kumpulan darah O dan B.
Tabung Darah Hospital Miri dalam satu makluman menerusi Facebook hari ini memaklumkan keadaan itu membimbangkan dan memerlukan sokongan segera daripada orang ramai bagi memastikan keperluan pesakit dapat dipenuhi.
Sehubungan itu, individu yang telah melepasi tempoh tiga bulan sejak pendermaan darah terakhir digesa tampil menderma bagi membantu menstabilkan semula bekalan darah di hospital berkenaan.
Menurut kenyataan itu, setiap beg darah yang didermakan berpotensi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, pembedahan serta rawatan penyakit kronik.
Selain penderma darah kumpulan O dan B yang amat diperlukan ketika ini, mereka yang mempunyai kumpulan darah A dan AB juga dialu-alukan untuk menderma bagi memastikan stok darah sentiasa berada pada tahap selamat.
Orang ramai boleh hadir ke Tabung Darah, Hospital Miri mengikut waktu operasi iaitu Isnin hingga Khamis dari 8.00 pagi hingga 12.15 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.15 petang manakala, pada Jumaat dari 8.00 pagi hingga 11.15 pagi dan 2.15 petang hingga 4.15 petang.
Pihak hospital turut menggesa masyarakat agar bersama-sama menunjukkan keprihatinan dengan menderma darah demi membantu pesakit yang amat memerlukan.
Oleh Liong Chai Ling