NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) membantu negeri Sarawak memerangi wabak Covid-19 dengan menyumbang Kelengkapan Pelindung Diri (PPE) bernilai RM2 juta.
Sumbangan itu menyediakan PPE kritikal bertaraf perubatan termasuk topeng pelindung perubatan KN95, topeng perubatan sekali pakai, kacamata perubatan, pelindung muka, penutup kepala perubatan, sarung tangan, gaun pengasingan (tidak steril), penutup pelindung perubatan (steril) dan but penutup perubatan.
Secara khusus, PPE sangat diperlukan oleh petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan pekerja kesihatan lain yang merawat pesakit Covid-19, terutama mereka yang berada di unit rawatan intensif.
Sumbangan itu disampaikan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing oleh Pengurus Besar STIDC, Hashim Bojet serta ahli Majlis Tetap STA, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif STA, Annie Ting pada satu majlis penyerahan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN Lama), Kuching di sini semalam.
Majlis disaksikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS).
STA dengan sukacitanya memaklumkan anggota STA bersatupadu dengan Kerajaan Sarawak dalam memerangi Covid-19, dengan menyerah sumbangan dalam bentuk wang tunai dan peralatan perubatan.
Antara anggota STA yang terbabit ialah Kumpulan KTS, Kumpulan Rimbunan Hijau, Kumpulan Samling, Kumpulan Shin Yang, Kumpulan Kayu Pepejal, Kumpulan Ta Ann dan Kumpulan WTK.
STA berharap sumbangan daripada industri perkayuan negeri ini dapat menyokong peningkatan keperluan penjagaan kesihatan dan membantu menambah bekalan PPE dan peralatan perubatan kritikal, sambil memastikan petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa kenal penat lelah untuk mengekang wabak ini, dilindungi dengan baik.
STIDC dan STA berharap sumbangan ini dapat memenuhi tujuannya untuk mencegah penyebaran Covid-19 dan menyelamatkan nyawa.
STA juga menggesa semua pemain industri dan masyarakat untuk memainkan peranan mereka dalam menyahut seruan Kerajaan Sarawak, dan mematuhi garis panduan pencegahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Sarawak termasuk menjaga jarak sosial dan kebersihan diri.