
SIMANGGANG: Pengoperasian Stesen Minyak Petronas baharu di Simpang Temudok, Sri Aman kini menjadi satu lagi mercu kemudahan penting bagi pengguna Lebuh Raya Pan Borneo.
Ianya terletak di kawasan persimpangan utama, stesen ini melengkapi empat stesen minyak sedia ada di Bandar Simanggang, sekali gus meningkatkan keselesaan dan akses perkhidmatan kepada orang ramai.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menyampaikan ucapan tahniah kepada pihak pengusaha dan Petronas kerana memilih Sri Aman sebagai lokasi strategik pembukaan stesen minyak baharu.
Menurut beliau, kewujudan stesen baharu ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya, malah menjadi manifestasi kepada perkembangan pesat ekonomi Sarawak amnya dan Sri Aman khususnya.
“Kehadiran pelabur seperti ini membuktikan keyakinan sektor korporat terhadap potensi Sri Aman. Ia secara tidak langsung mampu merangsang minat pelabur lain dalam bidang pertanian, industri perhotelan, dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pembukaan Stesen Minyak Petronas di sini, semalam.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata faktor tarikan pelabur ini turut diperkuat dengan projek mega infrastruktur seperti pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 yang akan menghubungkan jalan pesisir dari Sebuyau ke Lingga dan Bandar Simanggang sebelum meneruskan laluan ke Bahagian Betong.
“Dengan kemudahan strategik dan jaringan pengangkutan yang semakin lengkap, Sri Aman dijangka terus muncul sebagai hab ekonomi baharu di wilayah tengah Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir ADUN Katibas, Lidam Assan, Tan Sri Yee Ming Sing, Dato Sri John Lau, Pengurus Jualan Wilayah Sarawak, Joseline Adong Francis, Pengurus Mesra Retail, wilayah Sabah dan Sarawak, Matthew Wong Hieng Leng dan Pengurus Petronas Sarawak, Tan Sia Hui.
Oleh Adi Safarman