
KUCHING: Program Scratchathon Pengekodan 2025 dan STEMGround merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memupuk minat generasi muda Sarawak terhadap bidang teknologi, selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut Setiausaha Politik kepada Premier, Kho Teck Wan, pendedahan awal kepada pengekodan bukan sahaja mengajar pelajar memahami bahasa komputer, malah melatih mereka berfikir secara analitis, kreatif dan sistematik.

“Pengekodan melatih daya fikir yang teratur dan kemahiran menyelesaikan masalah, sekali gus membantu pelajar menghadapi cabaran dunia digital yang semakin berkembang.
“Pengekodan tidak hanya mengajar bagaimana untuk menulis kod, tetapi ia membentuk cara berfikir.
“Ia menjadikan pelajar lebih bijak dalam menganalisis matlamat, memahami sesuatu sistem, dan mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada majlis penutupan Scratchathon Pengekodan 2025 di Tegas Digital Village, di sini, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, proses ‘debugging’ yang sering dilalui dalam pengekodan turut mengajar pelajar tentang sifat ketahanan, ketekunan dan kemampuan menyesuaikan diri.


“Seseorang tidak boleh melakukan debugging tanpa memahami apa yang berlaku dalam sistem. Kemahiran ini memupuk daya tahan mental dan pemikiran kritikal.
“Teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan pengganti manusia, sebaliknya memerlukan manusia untuk memandu dan memperbaikinya.
“AI dibangunkan oleh manusia dan kerana manusia tidak sempurna, AI juga mewarisi ketidaksempurnaan itu. Sebab itu pengekod tetap diperlukan bagi membetulkan, menambah baik dan mengawal sistem,” jelasnya.
Tambah beliau, peluang dalam bidang pengekodan kini meliputi pelbagai sektor termasuk pengangkutan, pembuatan, pemantauan cuaca, pendidikan dan kesihatan.
“Pengekodan ada di mana-mana. Apabila pelajar mempelajarinya, mereka sedang melengkapi diri dengan kemahiran universal yang relevan dalam hampir semua industri moden.
“Tahniah kepada penganjur Scratchathon Pengekodan 2025 serta inisiatif seperti STEMGround yang berjaya melahirkan minat awal dalam kalangan pelajar terhadap teknologi.

“Melalui usaha berterusan seperti ini, kita sedang membina generasi pemikir, pencipta dan inovator masa depan Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru yang memainkan peranan sebagai pembimbing dan rakan pembelajar dalam membantu pelajar menguasai kemahiran digital, terutamanya dalam usaha mengurangkan jurang digital di kawasan luar bandar.
Oleh Masrin Affirah