JIKA aspirasi untuk terlibat dalam bidang aeroangkasa ini disebut 20 tahun lalu, ia mungkin dianggap sebagai angan-angan.
Pada ketika itu terlalu banyak infrastruktur asas yang belum tersedia, apatah lagi kesanggupan untuk membina ekosistem berteknologi tinggi yang diperlukan dalam industri ini adalah suatu yang tidak dapat dibayangkan.
Pastinya keutamaan diberikan kepada perkara yang lebih mendesak dan sesuai dengan kemampuan pada waktu itu.
Kini, Sarawak memiliki azam untuk meneroka potensi industri aeroangkasa dengan strategi yang jelas dan komprehensif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semasa membentangkan Bajet Sarawak 2025 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, melancarkan “Sarawak Aerospace Industry Development Roadmap” yang menjelaskan panduan strategik untuk menjayakan penglibatan Sarawak dalam industri aeroangkasa yang berpotensi besar.
Pelan ini menumpukan kepada lima elemen utama iaitu membina dasar dan kawal selia kukuh, mempercepat penyelidikan dan inovasi, membangunkan infrastruktur moden, melatih tenaga kerja mahir dan menjalin kerjasama strategik dengan pemain global.
Menurut laporan Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (Naico), pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Asia Pasifik diunjurkan bernilai RM15 trilion dalam tempoh dua dekad akan datang.
Maka, dengan perancangan dan gerak kerja yang sistematik, Sarawak dilihat berada di landasan yang tepat untuk menjadi hab utama dalam industri aeroangkasa di rantau ini.
Namun, impian ini hanya dapat direalisasikan jika anak-anak muda Sarawak bersedia untuk merebut peluang ini melalui pendidikan yang sesuai dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berkaitan.
Industri aeroangkasa melibatkan pelbagai cabang teknologi seperti reka bentuk pesawat, sistem avionik dan penyelenggaraan teknikal.
Sarawak berpotensi menjadi hab utama untuk MRO pesawat, selain terus menerajui dalam teknologi hijau.
Namun, cabaran besar yang dihadapi ialah kurangnya minat pelajar terhadap STEM.
Statistik menunjukkan hanya 50.83 peratus pelajar memilih aliran STEM di Sarawak setakat 2024 dan kerajaan menetapkan sasaran sebanyak 60 peratus menjelang 2030.
Situasi ini memberi isyarat bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menarik minat generasi muda ke arah bidang yang penting ini.
Pastinya cabaran utama ialah kekurangan kemudahan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Selain itu, ramai pelajar tidak mempunyai akses kepada makmal sains moden atau peluang untuk menimba pengalaman pembelajaran praktikal yang menarik.
Malah tidak dinafikan juga, jurang bandar-luar bandar terus menghalang pelajar dari kawasan pedalaman untuk mendapat peluang pendidikan berkualiti.
Akibatnya, bilangan graduan dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan dan teknologi masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan industri.
Kerjaya penting dalam industri aeroangkasa seperti jurutera aeronautik, jurutera bahan dan jurutera enjin adalah nadi utama dalam merealisasikan impian ini.
Peranan mereka melibatkan reka bentuk pesawat yang efisien, pembangunan bahan komposit canggih dan inovasi dalam teknologi pendorong untuk memastikan pesawat lebih cekap dan lestari.
Selain itu, penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), iaitu minyak pesawat di Kampung Goebilt turut menuntut pekerja mahir dalam teknologi hijau dan pengurusan tenaga lestari.
Tenaga kerja ini perlu memahami proses pengeluaran bahan api bio, analisis impak alam sekitar dan integrasi teknologi hijau ke dalam operasi penerbangan.
SAF bukan sahaja menjadi penyelesaian kepada cabaran perubahan iklim tetapi juga membuka peluang besar untuk graduan dalam bidang kejuruteraan kimia, teknologi bahan dan penyelidikan tenaga boleh diperbaharui.
Usaha ini turut disokong oleh institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Teknologi Swinburne (Swinburne Sarawak), Kolej Universiti i-CATS dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Maka, sekiranya isu-isu ini tidak ditangani segera, Sarawak berisiko melepaskan peluang besar dalam sektor ini kepada negeri atau negara lain yang lebih bersedia.
Oleh itu, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan beberapa inisiatif seperti STEM Trailblazers dan Program Pendidikan Luar Bandar Sabati-Petros.
Program ini memberi pendedahan dengan membawa teknologi ke sekolah-sekolah luar bandar bagi memastikan semua pelajar, tanpa mengira lokasi, mendapat peluang yang sama.
Selain itu, penubuhan pusat sains moden yang dijangka siap pada 2026 diharapkan dapat menjadi pemangkin dalam meningkatkan minat pelajar terhadap STEM.
Tidak setakat itu, makmal pendidikan STEM telah dibangunkan di beberapa sekolah dengan kerjasama institusi seperti Unimas dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Semua usaha ini adalah langkah penting untuk memupuk minat generasi muda Sarawak terhadap bidang teknologi tinggi.
Selain STEM, TVET juga memainkan peranan penting dalam menyokong industri aeroangkasa.
TVET memberi peluang kepada pelajar yang lebih cenderung kepada pembelajaran praktikal untuk mengembangkan kemahiran teknikal yang diperlukan oleh industri.
Antara inisiatif utama yang telah diambil ialah penubuhan Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu untuk melatih tenaga kerja tempatan melalui program TVET.
Di sini, pelajar boleh mempelajari kemahiran khusus seperti penyelenggaraan pesawat, pembaikan sistem avionik dan pengendalian teknologi dron.
Usaha kerajaan ini memerlukan sokongan padu daripada ibu bapa.
Sekalipun ada ibu bapa yang kurang pengetahuan berkenaan perkara ini, ia seharusnya tidak menjadi alasan untuk memupuk minat anak-anak agar dapat memilih aliran STEM atau TVET yang dapat melorong laluan kerjaya mereka dalam bidang aeroangkasa.
Kerjaya ini pastinya dapat mengubah kehidupan mereka dan keluarga dengan lebih baik.
Ibu bapa harus sentiasa memberi sokongan, motivasi, dan galakan kepada anak-anak dengan menjelaskan potensi besar dan peluang luas yang ditawarkan oleh aliran STEM atau TVET.
Kedua-dua laluan ini menawarkan kelebihan tersendiri tetapi saling melengkapi dalam membentuk kerjaya yang relevan dengan keperluan industri moden seperti aeroangkasa.
Sekiranya ada kemampuan material, ibu bapa bolehlah melabur dalam pendidikan anak-anak dengan menyediakan bahan pembelajaran tambahan yang relevan.
Contohnya, membeli kit robotik, dron mini atau perisian simulasi penerbangan boleh membuka peluang pembelajaran yang menarik dan inovatif di rumah.
Langkah ini tidak hanya membantu anak-anak memahami teknologi moden tetapi juga merangsang minat mereka terhadap bidang-bidang teknikal.
Selain itu, ibu bapa boleh mendaftarkan anak-anak mereka dalam program atau bengkel STEM dan TVET di peringkat sekolah mahupun komuniti untuk memberi pendedahan lebih luas tentang kerjaya masa depan yang mereka boleh ceburi.
Peranan ibu bapa tidak hanya terhad kepada sokongan material, tetapi juga komitmen moral. Dengan hadir bersama anak-anak ke pameran teknologi, pertandingan inovasi atau program yang dianjurkan oleh sekolah dan institusi, ibu bapa menunjukkan bahawa mereka serius dalam mendukung minat anak-anak.
Perbincangan santai di rumah tentang kerjaya yang berkaitan mampu memberikan inspirasi kepada anak-anak untuk bercita-cita lebih tinggi.
Masa depan Sarawak ada di tangan anak-anak kita. Setiap pihak mempunyai peranan agar tema Bajet 2025 yang disebutkan oleh Premier Sarawak “Bersama-sama Membina Masa Depan Makmur” dapat dicapai dengan jayanya.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.