
PETRA JAYA: Pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan tunjang kemajuan Sarawak dalam usahanya menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, tegas Pengerusi YS International Education Sdn. Bhd., Datuk Amar Michael Manyin Jawong.
Beliau berkata, generasi muda perlu dipersiapkan dengan kemahiran dan pemikiran saintifik agar mampu bersaing di peringkat global, sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kita mahu melihat pelajar Sarawak menjadi sebahagian daripada tenaga mahir yang akan menggerakkan ekonomi baharu negeri ini. Untuk itu, penguasaan STEM perlu diperkukuh sejak di bangku sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kimia Malaysia (K2M) Zon Sarawak 2025 di Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS), di sini, hari ini.
Datuk Amar Manyin turut menegaskan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah-sekolah Yayasan Sarawak sebagai pendekatan progresif yang membantu pelajar menguasai Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
“Penguasaan bahasa Inggeris amat penting kerana sebahagian besar sumber ilmu sains dihasilkan dalam bahasa tersebut. DLP memberikan kelebihan kepada pelajar Sarawak untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Beliau turut menggesa agar guru dan institusi pendidikan lebih kreatif dalam kaedah pengajaran supaya subjek Sains tidak dianggap sukar, sebaliknya menyeronokkan serta relevan dengan dunia sebenar.
“Pendidikan STEM tidak boleh hanya teori di bilik darjah. Ia mesti diterjemahkan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan. Inilah peranan program seperti K2M menjadikan sains satu pengalaman hidup,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia yang juga Pendaftar Institut Kimia Malaysia (IKM), Marhayani Md. Saad, berkata ilmu kimia memainkan peranan penting dalam membentuk dunia moden dan membawa perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kimia ada di sekeliling kita daripada makanan yang kita makan, pakaian yang kita pakai, hingga tenaga yang kita guna setiap hari. Semua ini hasil daripada kefahaman dan penerapan ilmu kimia,” jelasnya.
Beliau berkata, tema ‘Daripada Atom ke Hebat’ (From Atom to Awesome) membawa maksud bahawa walaupun atom adalah zarah paling kecil, namun pengetahuan tentangnya mampu mencetuskan penemuan luar biasa.
“Walaupun atom yang paling kecil mampu mencetuskan penemuan yang menakjubkan. Setiap penemuan besar bermula daripada rasa ingin tahu yang kecil. Justeru, jangan takut untuk bertanya, mencuba dan bereksperimen,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk IKM Cawangan Sarawak, Rotary District 3310, Kelab Rotary Kuching, Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Chemsain Konsultant Sdn. Bhd., Jabatan Pertanian Negeri Sarawak, Xiamen University Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta Institut Kimia Makromolekul Petru Poni, Romania atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Karnival yang menghimpunkan seramai 350 pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 10 itu turut menampilkan sesi pameran interaktif, eksperimen makmal mini, bengkel kepimpinan dan ceramah inspirasi oleh pakar dalam dan luar negara.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YS International Education Sdn. Bhd., Puan Noranne Adam Asim, Pengerusi IKM Cawangan Sarawak, Prof ChM Dr. Sim Siong Fong, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Sarawak, ChM Biling Peter Raig, Pengetua YSISS Kuching, Jimali Sunang serta Pengerusi Anugerah Kepimpinan Belia Rotary (RYLA) District 3310, Chandran Pillay.
Karnival Kimia Malaysia yang diperkenalkan sejak 2011 telah dianjurkan di beberapa lokasi seluruh Sarawak termasuk Unimas (2011, 2015), Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah (2013), MRSM Betong (2017), SMK Marudi (2019), SK Long Bedian (2022) dan SMK Kapit No. 2 (2023).
Tahun ini, program diteruskan dengan penganjuran Anugerah Kepimpinan Belia Rotary (RYLA) pada 17 hingga 19 Oktober bagi memperkukuh elemen kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Oleh Shikin Mahmud