
BAU: Program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dikenali sebagai STEM CATALYSTS yang bermatlamat utama untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menyeronokkan sekali gus menarik minat belajar dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato’ Henry Harry Jinep berkata program ini dirancang untuk mendedahkan pelajar kepada konsep-konsep STEM di samping mencetuskan rasa ingin tahu melalui aktiviti-aktiviti amali yang menyeronokkan dan berinteraktif.
“Pembelajaran STEM sebegini adalah langkah positif dalam menarik minat pelajar muda, serta memperkenalkan mereka kepada peluang kerjaya dalam bidang yang berkembang pesat di dunia moden.
“Pembelajaran yang melibatkan aktiviti praktik dan pendekatan yang lebih seronok seperti ini dapat memupuk minat yang mendalam dalam kalangan pelajar.
“Keberkesanan pendekatan sebegini sangat ketara kerana pelajar tidak hanya mempelajari teori tetapi juga mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam suasana yang lebih praktikal,” katanya semasa berucap di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bau semalam.
Sebanyak 10 buah sekolah dari Daerah Bau menyertai program ini, yang menawarkan pelbagai ruang pameran dan aktiviti interaktif berkaitan STEM. Antara pempamer yang terlibat termasuk Sarawak Skills, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), serta beberapa agensi dan institusi yang berkongsi kepakaran dalam bidang ini.
-UKAS