
SINGAPURA: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terus memperkukuh kedudukannya di pasaran Singapura apabila kembali buat kali keempat berturut-turut menyertai Pameran Perjalanan Percutian Persatuan Ejen Pelancongan Kebangsaan Singapura (NATAS) 2025.
Bertemakan lima tonggak utama pelancongan Sarawak, iaitu Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Perayaan (CANFF), penyertaan kali ini memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan jarak dekat, sekali gus meningkatkan angka kehadiran pelancong dari Singapura yang mencatat 59,793 orang pada tahun lalu.

Pameran yang berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos di Pusat Pameran Singapura itu menjadi platform penting kepada STB untuk mendekati secara langsung pelbagai segmen pelancong termasuk keluarga, belia milenial, pesara, ekspatriat serta penggiat industri pelancongan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, Singapura terus menjadi salah satu pasaran sumber terpenting bagi Sarawak.
“Kami hadir bukan sekadar mempromosikan pakej, tetapi juga untuk berkongsi warisan hidup, meraikan kepelbagaian budaya dan mengundang pelancong merasai sendiri keunikan Sarawak yang kaya budaya serta keindahan alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sepanjang pameran, pengunjung disajikan dengan persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian etnik Sarawak, demonstrasi tatu tradisional oleh artis tempatan serta aktiviti interaktif yang menonjolkan warisan masyarakat asal negeri ini.
Turut diketengahkan ialah promosi pakej pelancongan khas oleh ejen pelancongan, selain taklimat destinasi oleh wakil STB.

Sarawak kini menikmati 26 penerbangan terus mingguan dari Singapura termasuk 19 penerbangan ke Kuching, tiga ke Sibu dan empat ke Miri, faktor yang menambah kemudahan akses ke negeri ini.
Penyertaan di NATAS turut menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang STB di pasaran Singapura yang akan diteruskan menerusi penyertaan di ITB Asia pada Oktober depan dan Pesta Mega Sarawak dari 16 hingga 19 Oktober 2025.
Langkah ini diyakini dapat memperkukuh kehadiran pasaran, mengeratkan kerjasama industri dan merancakkan lagi kedatangan pelancong dari Singapura ke Sarawak.