SARIKEI: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berjaya mencapai sasaran penanaman 10,000 pokok di bawah inisiatif EcoGreen Planet lebih awal daripada jadual, sekali gus mencipta pencapaian penting menjelang sambutan ulang tahun ke-30 Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) pada 2027.
Pencapaian itu dicapai menerusi penanaman 3,800 anak pokok bakau di Taman Negara Bakau Rajang dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), sekali gus melengkapkan komitmen penanaman yang dimulakan sejak 2023.
Sebelum ini, program penanaman pokok di bawah inisiatif EcoGreen Planet dilaksanakan di Santuari Hidupan Liar Samunsam pada 2023, Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima pada 2024 dan Rizab Alam Semula Jadi Piasau pada 2025.
EcoGreen Planet merupakan program penghijauan dan pemulihan alam sekitar selama lima tahun hasil kerjasama antara STB dan SFC menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2023.

Program itu diwujudkan bagi menyokong komitmen kelestarian dua acara utama negeri, iaitu RWMF dan Festival Jazz Borneo.
Pengerusi STB, Dato Dennis Ngau berkata, program berkenaan membuktikan sektor pelancongan bukan sahaja berperanan menjana pertumbuhan ekonomi, malah turut menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan alam sekitar menerusi penglibatan pelawat, sektor korporat dan komuniti setempat.
Menurutnya, sebahagian hasil jualan tiket RWMF tahun ini, selain sumbangan penaja korporat festival, disalurkan bagi membiayai usaha pemulihan kawasan bakau di Taman Negara Bakau Rajang.
“Ketika kita menuju sambutan ulang tahun ke-30 RWMF, pencapaian ini membuktikan legasi festival bukan sahaja diukur melalui pengalaman yang dicipta di atas pentas, tetapi juga menerusi impak positif yang ditinggalkan kepada alam sekitar.
“Melengkapkan komitmen penanaman 10,000 pokok lebih awal daripada jadual mengukuhkan tanggungjawab kita untuk melindungi alam semula jadi yang sentiasa menjadi identiti utama RWMF,” katanya ketika berucap pada Program Penanaman Pokok EcoGreen Planet 2026 di Taman Negara Bakau Rajang, hari ini.
Beliau berkata, menerusi program itu, pengalaman pelancongan yang diwujudkan melalui festival diterjemahkan kepada tindakan pemuliharaan yang memberi manfaat berterusan kepada Sarawak selepas acara tersebut berakhir.
Katanya, penyertaan pelawat, sektor perniagaan dan komuniti membuktikan sektor pelancongan mampu menjadi pemangkin kepada usaha konservasi apabila semua pihak memainkan peranan dalam melindungi landskap semula jadi yang menjadi tarikan utama Sarawak.
Dennis berkata, Taman Negara Bakau Rajang dipilih sebagai lokasi pemulihan selepas kawasan berkenaan terjejas akibat aktiviti pencerobohan dan pembukaan hutan secara haram antara 2020 hingga 2021.

“Pemulihan ekosistem ini akan membantu meningkatkan penyerapan karbon, melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan, menyokong biodiversiti marin serta mengekalkan sumber perikanan dan mata pencarian komuniti sungai berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan komuniti Kampung Kuala Rajang amat penting kerana usaha pemuliharaan akan lebih berkesan apabila masyarakat setempat menjadi sebahagian daripada proses penjagaan dan pemantauan kawasan pemulihan.
Katanya, kejayaan mencapai sasaran penanaman 10,000 pokok lebih awal daripada jadual turut mencerminkan kekuatan kerjasama antara STB, SFC, penaja korporat, agensi kerajaan, rakan pemuliharaan dan komuniti setempat.
“Setiap anak pokok yang ditanam mewakili komitmen untuk memulihkan alam sekitar, memperkukuh komuniti dan meninggalkan legasi bermakna kepada generasi akan datang,” katanya.
Program berkenaan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 13: Tindakan Iklim, selain memperkukuh komitmen STB terhadap pelancongan regeneratif, pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan acara yang bertanggungjawab.





