KUCHING: Usaha Sarawak menuntut semula hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus dihormati dan difahami oleh rakyat Malaysia di negeri lain.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata, perjuangan Sarawak dalam MA63 berdasarkan perundangan, berada pada landasan yang betul dan sewajarnya mendapat pertimbangan daripada semua pihak.
“Status Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ Persekutuan Malaysia perlu dikembalikan kerana penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’ yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku. Kita mahu status asal diberikan kembali kepada negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 pada Persidangan Parlimen yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, Rohani menambah, cadangan pindaan Perkara 160 (2), iaitu menggantikan tafsiran “the Federation” perlu dipertimbangkan agar merangkumi MA63 dan perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 7 Ogos 1965.
Katanya, pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan akan menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia.
“Ia selaras dengan semangat Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Perjanjian Malaysia 1963 dan kedudukan selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, serta penjelasannya dalam peruntukan tafsiran,” ujar beliau lagi.
Melihat kepada perkara ini katanya, ia turut melibatkan Pindaan Fasal (6) Perkara 161A untuk memperuntukkan bahawa, berhubung dengan Sarawak, ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak adalah seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri.
Hal sedemikian katanya, dapat dikaitkan dengan perkahwinan antara ras Sarawak dan bukan ras Sarawak dan disebabkan itu, status Bumiputera Sarawak haruslah dikekalkan tanpa menidakkan hak dan keistimewaan mereka serta waris.
“Pindaan Artikel 160 (7) kepada maksud “Native” perlu dipadamkan dan digantikan dengan pindaan yang baharu ini dalam memastikan semua etnik dan bangsa di Sarawak dimasukkan dalam definisi.
“Hal ini kerana kita melihat etnik-etnik di Sarawak adalah pelbagai dan kebanyakan daripada mereka tidak dimasukkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dapat diteruskan bagi membangunkan Bumi Kenyalang menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
Oleh SYAMIMI HUSNA