NURZILLA MOHAMAD
Seorang warga emas tidak mahu kekurangan yang ada pada dirinya dijadikan sebagai alasan untuk bergantung kepada ihsan orang ramai atau bantuan dari kerajaan semata-mata.
Sajeli Hassim, 57, mengusahakan pelbagai tanaman untuk meneruskan kelangsungan hidup sejak dari kecil lagi.
Beliau yang memegang kad orang kelainan upaya (OKU) ketidakupayaan masalah pembelajaran, mahu berdiri di atas kaki sendiri dengan mengusahakan kebun sayur-sayuran secara kecil-kecilan di halaman rumahnya di Jalan Abang Barieng di sini.
“Saya bukanlah berasal dari keluarga yang berada dan tinggal jauh di pedalaman ketika masih kecil.
“Oleh itu, hanya dengan bercucuk tanamlah menjadi sumber rezeki bagi kami sekeluarga,” katanya.
Lebih mesra dengan panggilan Anjang Li, katanya, dia yang berasal dari Kampung Sebako memberitahu bahawa berkebun adalah sumber pendapatan utama beliau bersama arwah ibunya sejak dahulu lagi.
Oleh itu, kemahiran bercucuk tanam atau berkebun ini telah diwarisinya dari arwah ibunya.
Anjang Li mempunyai seorang kakak dan dua orang adik lelaki. Salah seorang adiknya telah meninggal dunia ketika dia berusia 37 tahun.
Bagaimanapun, atas faktor usia yang kian meningkat dan semenjak arwah ibunya meninggal dunia, Anjang Li mula berhijrah ke bandar Sibu mengikut adik bongsunya.
Dia tidak mahu menyusahkan kakak dan adik bongsunya kerana mereka mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.
“Nasib baik halaman rumah adik saya ini agak luas dan tanahnya juga amat sesuai untuk bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman dan sayuran.
“Di atas tanah inilah saya mengusahakan pelbagai jenis tanaman terutama ulam-ulaman seperti ulam raja, pucuk bandung dan timun.
“Selain itu, saya juga ada menanam tumbuhan yang sering digunakan dalam masakan seperti cili, serai, nanas, kantan, kesum, kunyit, limau purut, daun pandan, limau kasturi dan kari,” katanya.
Dengan hasil tanaman ini, katanya, turut membantu menampung sedikit keperluan dapur untuk adiknya.
“Jika ada lebih sedikit, barulah saya akan jual kepada orang luar,” tambahnya.
Kebiasaan Anjang Li menjual hasil tanaman kepada penduduk kampung sekitar. Biarpun hasil pulangan tidak seberapa, namun ia cukup untuk menambah perbelanjaan hariannya.
Sementara itu, Anjang Li memberitahu beliau adalah penerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.