
CADANGAN untuk memberikan status Bumiputera kepada masyarakat Cina di Sarawak, seperti yang dibangkitkan oleh Datuk Larry Sng, Ahli Parlimen Julau, bukan sahaja mencetuskan polemik, malah membuka persoalan lebih mendasar tentang asas pembentukan negara Malaysia itu sendiri.
Dalam sebuah negara yang dibina atas kontrak sosial, sejarah peradaban dan kerangka perlembagaan yang jelas, status Bumiputera bukan sekadar kategori pentadbiran sebaliknya ia adalah manifestasi sejarah, identiti dan keadilan sosial yang bersifat kontekstual.
Fakta sejarah dan perlembagaan
Terdapat Perkara 161A (Sarawak & Sabah) yang menjamin status anak negeri, terutamanya melalui peruntukan undang-undang negeri yang menentukan definisi dianggap anak negeri.
Di Sarawak, seseorang dianggap anak negeri jika seseorang itu adalah ras campuran (ibu/bapa anak negeri) atau tergolong dalam kumpulan etnik pribumi yang ditetapkan oleh undang-undang negeri manakala di Sabah seseorang dianggap anak negeri jika dia adalah warganegara, dan salah seorang ibu bapa adalah anak negeri.
Hakikat bumiputeraisme
Berdasarkan aspek sudut sejarah dan perlembagaan, status Bumiputera tidak lahir secara arbitrari, tetapi berakar daripada kedudukan masyarakat asal dan peribumi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Di Sarawak sendiri, pengiktirafan Bumiputera merujuk kepada kumpulan etnik peribumi seperti Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu yang mempunyai hubungan sejarah, tanah adat (NCR), serta sistem sosial tersendiri sebelum pembentukan negara moden.

Maka, memperluaskan definisi ini kepada kelompok bukan peribumi bukan sahaja mengaburkan asas sejarah, malah berisiko meruntuhkan prinsip asal keadilan afirmatif.
Kedua, hujah bahawa masyarakat Cina perlu diberikan status Bumiputera atas alasan kesaksamaan adalah satu generalisasi yang tidak tepat.
Data ekonomi dan struktur sosial Malaysia menunjukkan bahawa masyarakat Cina, secara relatifnya, telah mempunyai kekuatan dalam sektor perdagangan, perusahaan dan pendidikan.
Walaupun tidak menafikan kewujudan kelompok rentan dalam mana-mana etnik, penyelesaian kepada ketidaksamaan ekonomi harus bersifat berdasarkan keperluan (needs-based), bukan dengan mengubah definisi identiti perlembagaan.
Memberikan status Bumiputera bukanlah mekanisme pengagihan ekonomi, tetapi satu pengiktirafan sejarah dan struktur sosial.
Kestabilan
Ketiga, daripada perspektif kestabilan politik dan hubungan antara etnik, cadangan ini berpotensi mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.
Malaysia lebih-lebih lagi Sarawak telah berjaya mengekalkan keharmonian melalui pengiktirafan kepelbagaian dalam kerangka yang seimbang.
Mengubah status Bumiputera secara meluas boleh dilihat sebagai menghakis hak masyarakat peribumi yang selama ini masih berdepan cabaran pembangunan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam konteks ini, keutamaan dasar seharusnya memperkukuh kelompok yang masih tertinggal, bukan memperluaskan kategori sehingga kehilangan makna asalnya.
Keempat, dari sudut falsafah kenegaraan, cadangan ini mencerminkan kekeliruan antara hak kewarganegaraan dan hak Bumiputera. Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, telah dijamin hak sebagai warganegara termasuk akses kepada pendidikan, ekonomi dan perlindungan undang-undang.
Status Bumiputera pula merupakan satu bentuk dasar afirmatif yang bertujuan memperbetulkan ketidakseimbangan sejarah. Menyamakan kedua-duanya bukan sahaja tidak tepat, malah boleh membawa kepada tuntutan berantai yang merumitkan struktur sosial negara.
Ketiga, terdapat risiko bahawa langkah ini akan membuka ‘kotak Pandora’ dalam politik identiti Malaysia. Jika Sarawak diberi ruang untuk mentakrif semula Bumiputera, adakah negeri lain juga akan menuntut perkara yang sama?
Bagaimana pula dengan komuniti lain yang mempunyai sejarah panjang di Malaysia? Tanpa garis sempadan yang jelas, dasar ini boleh mencetuskan tuntutan berantai yang sukar dikawal.
Dalam usaha membina Malaysia yang inklusif dan progresif, kita harus berhati-hati agar tidak mengorbankan asas yang telah menjamin kestabilan selama ini.
Reformasi perlu dilakukan secara bijaksana memperbaiki kelemahan pelaksanaan dasar, meningkatkan ketelusan dan memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan tanpa mengubah definisi asas yang bersifat struktural.
Situasi New Zealand dan Australia
Dalam menilai cadangan untuk memperluaskan status Bumiputera kepada masyarakat Cina di Sarawak, kita harus melihat pengalaman antarabangsa sebagai cermin perbandingan yang objektif.
Di negara seperti New Zealand dan Australia, pengiktirafan terhadap masyarakat peribumi seperti Māori dan Aboriginal Australians tidak pernah dipersoalkan atau diperluaskan kepada komuniti migran Eropah, walaupun mereka kini merupakan kelompok dominan dari segi ekonomi dan politik.
Di New Zealand, masyarakat keturunan Eropah (Pākehā) tidak pernah menuntut status Māori, walaupun mereka telah menjadi sebahagian besar populasi dan menguasai sektor ekonomi moden.
Hal ini kerana status Māori bukan sekadar kategori sosial, tetapi berakar pada sejarah penjajahan, perjanjian seperti Treaty of Waitangi, serta hubungan tanah, budaya dan identiti yang tidak boleh dipindahkan kepada kelompok lain.
Begitu juga di Australia, masyarakat bukan peribumi tidak pernah menuntut untuk diklasifikasikan sebagai Aboriginal Australians, kerana kesedaran bahawa status tersebut berkait langsung dengan sejarah penindasan, hak tanah adat dan keperluan pembetulan keadilan sejarah.
Negara maju berfikir rasional
Maka persoalannya mengapa di Malaysia, khususnya Sarawak, wujud cadangan untuk memperluaskan status Bumiputera kepada kelompok yang secara jelas bukan berasal daripada komuniti peribumi?
Jika di negara lain yang lebih liberal dan maju sekali pun, garis pemisah antara peribumi dan bukan peribumi dihormati, maka cadangan ini sebenarnya bertentangan dengan norma antarabangsa dalam pengurusan kepelbagaian etnik.
Lebih penting, perbandingan ini menegaskan bahawa status peribumi bukan soal ekonomi atau kejayaan sosial semasa, tetapi soal sejarah asal-usul, hubungan dengan tanah, dan keperluan pembetulan struktur ketidakseimbangan.
Dalam konteks Sarawak, masyarakat seperti Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau dan Orang Ulu masih berdepan cabaran pembangunan asas dari akses infrastruktur hingga peluang ekonomi.
Memberikan status Bumiputera kepada kelompok lain yang tidak berkongsi sejarah marginalisasi ini bukan sahaja tidak adil, malah boleh dilihat sebagai menghakis hak yang masih belum sepenuhnya dinikmati oleh masyarakat peribumi itu sendiri.
Tambahan pula, jika logik cadangan ini diterima, maka ia membuka pintu kepada tuntutan serupa di masa hadapan yang akhirnya menjadikan status Bumiputera kehilangan makna asalnya.
Hakikat ini berbeza dengan pendekatan negara seperti New Zealand dan Australia yang mengekalkan definisi peribumi secara jelas, sambil memperkukuh dasar inklusif untuk semua tanpa perlu mengubah kategori asas tersebut.
Rumusan
Perbandingan dengan Māori dan Aboriginal menunjukkan satu prinsip universal bahawa status peribumi tidak boleh diperluaskan berdasarkan tuntutan semasa atau pertimbangan politik, tetapi mesti kekal berasaskan sejarah dan identiti asal.
Mengabaikan prinsip ini bukan sahaja tidak selari dengan amalan global, malah berisiko menghakis keadilan yang sepatutnya dipelihara untuk masyarakat peribumi itu sendiri.
Status Bumiputera bukan isu siapa lebih layak hari ini, tetapi siapa yang diiktiraf dalam sejarah pembentukan negara.
Mengaburkan garis ini bukan sahaja mencetuskan polemik, tetapi berisiko meruntuhkan keseimbangan yang telah dibina dengan penuh kompromi dan kebijaksanaan.
Jalan ke hadapan bukanlah dengan idea kurang bijaksana tetapi menghormati sejarah, mematuhi perlembagaan serta bertekad membina perpaduan dan keharmonian dengan lebih baik.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia